• 1/2 Juta Jemaah Haji Tanpa Permit Diusir Saudi

    Published: Wednesday, 30 August 2017
    A- A+

    MAKKAH: Lebih 400,000 jemaah tanpa permit haji dari seluruh dunia dan lebih 200,000 kenderaan yang membawa mereka di pintu-pintu masuk Makkah sudah dihantar pulang.

    Demikian menurut kenyataan Pengarah Jabatan Perhubungan Awam dan Media Keselamatan Awam Arab Saudi, Kolonel Sami Al-Shuwairekh yang dipetik oleh portal tempatan Saudi Gazette.

    Manakala seramai 1,841 ekspatriat berdepan dengan tindakan undang-undang dan mereka sudah diserahkan kepada Pihak Pendakwa Raya atau agensi-agensi yang lain, lapor media negara tersebut.

    Sebanyak 3,296 kenderaan yang membawa para ekpatriat tersebut pula dirampas di pintu-pintu masuk negara itu, kata Kolonel Sami dalam satu sidang media bersama yang diadakan di ibu pejabat Keselamatan Awam di Mina.

    Jurucakap keselamatan Kementerian Ehwal Dalam Negeri Arab Saudi, Mejar Jeneral Mansour Al-Turki berkata semua agensi berkaitan sudah bersedia untuk menawarkan khidmat terbaik kepada lebih dua juta jemaah.

    Ini termasuk 1.734 juta jemaah asing dan sekitar 200,000 jemaah dometik, menurut laporan Saudi Gazette. Beliau menambah lebih 50 peratus daripada jemaah asing sudahpun selesai program ziarah mereka di Madinah.

    Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Mishal Al-Robaian pula berkata tiada laporan penularan wabak tertentu, termasuk jangkitan penyakit taun, yang dilaporkan berlaku dalam kalangan jemaah.

    Beliau menambah bahawa semua jemaah yang memasuki negara tersebut dipastikan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit memandangkan musim haji kali ini berlangsung dalam situasi cuaca panas.

    Penasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Hatem Qadi, memberitahu Saudi Gazette secara keseluruhan sebanyaj 19,500 buah bas digunakan bagi membawa pergerakan jemaah dari Madinah ke Makkah.

    Sekitar 9,000 buah bas pula digunakan untuk membawa jemaah dari Makkah ke Mina. Indonesia yang merupakan negara Islam terbesar di dunia, merekodkan bilangan jemaah paling ramai. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " 1/2 Juta Jemaah Haji Tanpa Permit Diusir Saudi "