• 111 Gigitan Anjing Terbaru Dilaporkan Di Sarawak

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan 111 kes gigitan anjing terbaru dilaporkan hari ini.

    Menurut jabatan berkenaan, kes-kes berkenaan dilaporkan di Bahagian Serian, iaitu 34 kes, Bahagian Sri Aman (26), Bahagian Kuching (19) dan Bahagian Samarahan (32).

    Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku mulai 1 April 2017 hingga ke hari ini berjumlah 1,651 kes, menurut kenyataan ytang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di sini hari ini.

    Kenyataan itu menyebut secara kumulatifnya seramai 834 orang telah menerima vaksin anti-rabies, manakala sejumlah 160 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit rabies telah diadakan di kawasan kampung dan sekolah yang dihadiri 31, 615 orang peserta.

    Sementara itu, katanya hari ini sehingga jam 3 petang sebanyak 270 ekor anjing divaksinkan dalam program pemvaksinan anjing yang diadakan di Bahagian Serian, iaitu di Kampung Terbat Leban, Kampung Terbat Mawang, Kampung Mayang Kawan, Kampung Sebintin, Kampung Engkeroh, Kampung Pulau Peranuk, Kampung Krussen Kranji, Kampung Krussen Mawang dan Kampung Krussen Siu.

    Esok Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan mengadakan program pemvaksinan anjing secara besar-besaran di Bahagian Serian, iaitu di Kampung Mawang Tahup, Kampung Mentu Pondok, Kampung Mentu Mawang, Kampung Pulau Piranuk, Kampung Triboh, Kampung Tubih Mawang, Kampung Tubih Plaman, Kampung Tubih Behem dan Kampung Tema Saan.

    Jumlah haiwan kesayangan yang telah divaksinkan sehingga hari ini adalah sebanyak 27,957 ekor, yang terdiri daripada 20,315 ekor anjing, 7,597 kucing dan 45 haiwan lain.

    Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April 2017 hingga kini agar segera membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

    Dalam masa yang sama orang ramai diingatkan agar sentiasa menghindari diri daripada gigitan haiwan terutama anjing dan sekiranya digigit perlu mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit dan segera mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan. – BERNAMA
  • No Comment to " 111 Gigitan Anjing Terbaru Dilaporkan Di Sarawak "