• 11 Resolusi Akan Dibentangkan Kepada Majlis Raja-Raja

    Published: Sunday, 6 August 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA : Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersirat hari ini menggariskan 11 resolusi yang akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja untuk dipertimbangkan.

    Resolusi berkenaan dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembentangan, Tan Sri Dr Nordin Kardi.

    Resolusi pertama yang digariskan dalam konvensyen berkenaan adalah cadangan menubuhkan Institut Perundingan Diraja yang akan ditempatkan di bawah Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu.

    "Ia akan dianggotai pakar yang berupaya menyampaikan nasihat secara objektif, bebas dan berkecuali yang akan meneliti dasar negara daripada pelbagai sudut, menyelidik fakta dan menganalisis secara objektif yang berlandaskan kebenaran segala perkara yang dipersembahkan kepada Raja-Raja," katanya ketika membentangkan resolusi berkenaan.

    Pengerusi Panel Perunding Perpaduan Ummah Majlis Dakwah Negara, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman hari ini menyerahkan resolusi terbabit kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad.

    Resolusi kedua adalah mewajibkan subjek berkaitan raja dan pemerintahan di Malaysia dijadikan silibus dalam kursus utama agensi kerajaan dan swasta seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Akademi Tentera.

    Objektif Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih tersurat adalah untuk memperkukuh institusi Raja-Raja Melayu sebagai pasak negara.

    Ia juga dianjurkan bagi menjana idea untuk memantapkan peranan institusi raja dalam pembangunan dan peradaban negara.

    Resolusi ketiga adalah kepentingan mewujudkan Tabung Amanah Kebangsaan Majlis Raja-Raja Melayu dan resolusi keempat keperluan mewujudkan satu badan di setiap kerajaan negeri untuk memantau penggunaan tanah rizab Melayu di negeri terbabit termasuk memperketatkan syarat penukaran status tanah rezab Melayu untuk kegiatan pembangunan.

    Resolusi kelima adalah demi memastikan pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman, Majlis Raja Raja Melayu disembah pohon supaya bertindak memastikan Badan Kehakiman, bebas dalam menjamin keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

    Konvensyen juga merumuskan supaya Majlis Raja Raja Melayu berperanan lebih menyerlah dan berkesan dalam semua inisiatif pembangunan pendidikan negara.

    Selain itu, dirumuskan agar dimohon semua titah rasmi Yang di-Pertuan Agong disembah mohon menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap acara negara selain

    penamaan kawasan perumahan, tempat pelancongan dan bangunan dan hendaklah dinamakan dalam bahasa Melayu melainkan mendapat titah perkenan pengecualian.

    Demi menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu supaya tidak tercalar, disembah mohon supaya Raja-Raja dan kerabat sentiasa memelihara citra, budi dan pekerti mulia dalam semua keadaan.

    Resolusi kesembilan adalah Majlis Agama Islam memperluaskan peranan dan tanggungjawab, merangkumi perkara berkaitan sosio ekonomi ummah dan meneliti semula kurikulum serta kaedah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam secara lebih menyeluruh dan terkini.

    Resolusi ke-10 adalah menjunjung prinsip perkongsian kuasa Raja Berperlembagaan-Demokrasi Berparlimen, dengan amalan nasihat menasihati berlaku secara dua hala antara kerajaan dan Raja.

    Resolusi ke-11 adalah memperbanyak inisiatif merapatkan Raja dan rakyat. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 11 Resolusi Akan Dibentangkan Kepada Majlis Raja-Raja "