• Zahid Yakin BN Mampu Tangkis Cubaan Pembangkang

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+


    BATU PAHAT - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dengan kepimpinan dan kemampuan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta barisan pemimpin Umno negeri untuk menangkis cubaan pembangkang yang mahu menawan kubu kuat parti itu pada PRU14 akan datang.

    Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, mendedahkan terdapat pergerakan drastik pihak pembangkang dalam menjalankan strategi mereka untuk menawan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen tertentu dalam negeri itu.

    "Saya amat yakin dengan kepimpinan Mohamed Khaled dan rakan-rakan di peringkat perhubungan negeri dan Barisan Nasional (BN) Johor.

    "Walaupun kita lihat terdapat satu pergerakan drastik (oleh pembangkang) untuk memindahkan pengundi-pengundi di tempat-tempat mereka yang mempunyai kemenangan tipis atau kekalahan yang tipis dan mereka memfokuskan kawasan Parlimen dan Dun tertentu.

    "Namun, saya yakin hiduan dan bau terhadap pergerakan dibuat pembangkang akan ditangkis oleh kejituan kepimpinan (Datuk Seri) Mohamed Khaled dan rakan-rakan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat, di sini hari ini.

    Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno berkata demikian ketika mengulas pertanyaan sama ada beliau yakin Johor akan kekal menjadi kubu kuat BN.

    Pada PRU13 lalu, BN Johor menang 21 kerusi Parlimen daripada 26 kerusi dan 38 kerusi Dun daripada 56 kerusi Dun. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Zahid Yakin BN Mampu Tangkis Cubaan Pembangkang "