• Yamaha RXZ TwinBoss Dua Enjin Bakal Dibawa Pulang Pengunjung Bertuah Art Of Speed 2017

    Published: Sunday, 9 July 2017
    A- A+

    Dunia modifikasi kustom adalah unik, tiada had untuk anda menunjukkan daya kreativiti dan hasilnya boleh jadi cukup menakjubkan. Di Malaysia, acara Art Of Speed menghargai kerja mereka yang terlibat dalam dunia ini, berserta budaya berkenaannya. Sejak bermula pada tahun 2012, pelbagai hasil seni modifikasi automotif tempatan diketengahkan, dan ikon antarabangsa turut dibawa secara khas sebagai inspirasi.

    Tahun ini adalah tahun keenam Art Of Speed dianjurkan, dan pengasasnya, Asep Ahmad Iskandar menjanjikan pelbagai pameran dan aktiviti yang lebih menarik untuk pengunjung. Paling menarik adalah hadiah cabutan bertuah, yang pada tahun sebelum ini pernah menyaksikan pengunjung bertuah membawa pulang sebuah motosikal Triumph Street Twin yang telah diubah suai.

    Bagi tahun ini, Asep menyediakan sesuatu yang lebih istimewa. Sesuai dengan konsep acara yang mengetengahkan budaya kustom, hadiah cabutan bertuah tahun ini juga adalah sebuah motosikal yang dibina sendiri dari awal hingga siap oleh warga tempatan. Nama yang diberi pada motosikal ini adalah RXZ TwinBoss.

    Jika melihat pada gambar ini, pasti ramai yang tertanya, kenapa ia dipanggil sebegitu sedangkan badannya langsung tidak ada gaya Yamaha RXZ manakala enjinnya pula sekali imbas seperti adalah unit dua silinder V. Tetapi cuba perhati lebih dekat pada enjin tersebut. Ya, ia memang adalah enjin 135 cc dua lejang Yamaha RXZ. Bukan satu, tetapi dua unit yang digunakan untuk memacu motosikal ini.


    Dalam dunia motosikal kustom, terdapat pelbagai istilah dan nama khas yang diberikan kepada motosikal, dan gaya yang digunakan pada RXZ TwinBoss ini dinamakan sebagai Digger. Istilah ini sudah wujud sejak lebih 40 tahun yang dulu dan ia digunakan bagi motosikal yang mengambil inspirasi daripada motosikal pecut (drag) dan diubah suai untuk kegunaan jalanan.

    Motosikal jenis ini kebiasaannya duduk rendah, tidak banyak panel badan, tiada suspensi belakang (rigid) dan mempunyai jarak roda yang panjang. Penggunaan dua unit enjin juga adalah inspirasi daripada motosikal drag, di mana pada waktu dulu, ia cukup popular bagi meningkatkan kuasa enjin.

    Menurut Asep, beliau tercetus ingin menghasilkan projek ini kerana ia tidak pernah dilakukan di Malaysia dan menganggapnya cukup istimewa untuk dijadikan sumbangan kepada pengunjung Art Of Speed. Pada mulanya, atas sebab kekangan masa, tidak ramai yang mahu melaksanakannya, namun cabaran ini disahut oleh seorang anak muda dari Ipoh, Perak iaitu Irwan Cheng, yang menguruskan bengkel ubah suai FNG Works secara separuh masa. Beliau adalah seorang graduan kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    Projek ini bermula April lalu dengan dua unit motosikal Yamaha RXZ yang berfungsi sepenuhnya dan ia kemudiannya dileraikan untuk mengambil hanya bahagian yang diperlukan. Potong dan kimpal memang sudah menjadi lumrah dalam dunia kustom, dan sebahagian daripada rangka RXZ tersebut masih lagi digunakan, bersama fork hadapannya.


    Irwan kemudiannya mengubahsuai rangka motosikal ini, dengan menggunakan tiub besi yang lebih panjang di bahagian atas, manakala di bahagian bawah, bagi memegang enjin, ia menggunakan plet besi (cradle) yang awalnya dilukis di dalam komputer dan dipotong dengan tembakan air (water jet cutting). Plet besi ini adalah satu unit bagi setiap sisi, dari depan sampai ke roda belakang dan ia turut diuji supaya dapat bertahan dengan kuasa yang dihasilkan.

    Dengan hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi sebelum Art Of Speed 2017 berlangsung 29 dan 30 Julai ini di MAEPS, Serdang, RXZ TwinBoss boleh dikatakan sudah 70 peratus siap. Kerja-kerja panel badan kini sedang dilakukan oleh Beautiful Machines yang beroperasi di Bandar Sunway, Selangor dan kemudiannya akan dipersiap dengan kemasan akhir.

    Seperti yang diberitahu oleh Asep, panel badan aluminium motosikal ini akan dibiarkan kelihatan seperti asal, menampakkan keunikan permukaannya, namun akan dicat dengan lapisan lutsinar dan dihiasi dengan jalur perlumbaan. Bahagian kerangka pula ada yang akan disalut dengan krom dan dicat. Secara kasar, keseluruhannya projek ini dianggar menelan belanja hampir RM40,000.

    Sama-sama kita saksikan semasa Art Of Speed berlangsung nanti bagaimana hasil akhir RXZ TwinBoss ini dan siapakah pengunjung bertuah yang akan membawanya pulang. Kami sendiri juga tidak sabar mahu mendengar bagaimana bunyi gabungan dua enjin dua lejang ini dan pastinya ia cukup membingitkan. Tahniah juga kepada mereka yang terlibat, kerana membuktikan warga Malaysia juga mempunyai kemampuan untuk menghasilkan motosikal seperti ini. - Paultan

    Subjects:

  • No Comment to " Yamaha RXZ TwinBoss Dua Enjin Bakal Dibawa Pulang Pengunjung Bertuah Art Of Speed 2017 "