• Video: “Macam Ni Baru Berbaloi Hantaran 30k”

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    Rakaman video seorang remaja perempuan berusia sembilan tahun yang hebat memasak bak seorang tukang masak berpengalaman menjadi tular di media sosial.

    Menerusi perkongsian video yang dimuat naik bapa saudaranya di laman Facebook, si cilik bernama Siti Nurfatihah Mohd Faizi ini dilihat langsung tidak kekok untuk mengendalikan senduk dan periuk di dapur, termasuklah ‘bermain’ api besar ketika memasak.

    “Hebat Tihah.. darjah 3 dah pandai goreng nasi.. baru berbaloi hantaran 30k.. 😂,” tulis Khairul Hazmi pada kapsyen video.

    Ibunya, Siti Norasiken Yusof ketika ditemui mStar Online memberitahu anaknya yang mesra dengan panggilan Tihah itu sememangnya didedahkan untuk memasak sejak masih bayi lagi.

    “Sebab tu saya tak terkejut sangat dia minat masak, tapi saya akui dengan umurnya yang masih muda, kemahirannya itu agak luar biasa berbanding kanak-kanak lain,” katanya.

    Tambah Siti, sejak berumur lima tahun lagi Tihah sudah berminat untuk memegang senduk untuk memasak, tetapi wanita berusia 30 tahun itu tidak membenarkan anaknya itu memasak kerana keadaan fizikalnya yang masih kecil dan berbahaya.

    Mengulas lebih lanjut, Siti mengatakan bakat anak bongsunya itu mula disedarinya ketika berumur tujuh tahun, apabila anaknya itu dilihat tidak kekok memotong ayam di kedai makannya yang terletak di Yong Peng, Johor.

    Ketika berumur lapan tahun pula, Tihah dikatakan sudah pandai memasak nasi goreng, mi goreng dan pandai mengoreng telur mata.

    Ajaibnya, si cilik itu tidak pernah diberikan pendidikan formal atau cara-cara membuat kerja dapur oleh ibunya, bahkan kanak-kanak itu hanya belajar melalui pemerhatian sahaja.

    Ditanya mengenai faktor keselamatan anaknya, Siti memberitahu bahawa dirinya sentiasa berpesan supaya anak berhati-hati ketika memasak.

    “Kadang-kadang jerit (marah) juga kalau bahaya, tapi dia kata ‘tak apa kita (Tihah) pandai’,” katanya.

    Setakat berita ini ditulis, rakaman video berdurasi 39 saat yang menunjukkan aksi Tihah ‘bermain’ api itu telah menerima lebih daripada 352,000 tontonan dan mendapat 2,510 perkongsian di media sosial. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Video: “Macam Ni Baru Berbaloi Hantaran 30k” "