• [Video] : Ingatkan Dikir Barat, Rupanya Gelek Dangdut

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+


    Tumpat : Majlis sambut menantu di Kampung Padang Tembusu di sini, dihidang dengan tarian “gelek berahi” walau tuan rumah mahu persembahan dikir barat.

    Namun, persembahan tujuh penghibur yang menari dalam alunan dikir barat berirama dangdut menjadi pertikaian antara mereka dan tuan rumah majlis, lapor Harian Metro.

    Tuan rumah yang hanya mahu dikenali Mohamad, 58 tahun, mendakwa beliau tidak tahu-menahu acara tarian gelek "berahi" itu

    Beliau hanya dimaklumkan oleh pengurus kumpulan muzik itu untuk membuat persembahan dikir “biasa” sahaja.

    “Saya tidak tahu-menahu mereka sediakan tarian gelek kerana semuanya diuruskan kumpulan dikir,” katanya.

    Beliau, yang enggan memberikan nama sebenar, mendakwa meminta anaknya menjemput penyanyi dikir tetapi tidak menyangka ada tarian gelek.

    Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan dua wanita loghat Kelantan berpakaian ketat dan bergelek mengikut irama dangdut malam kelmarin.

    Seorang ahli kumpulan Wan Nukman Wan Hamdan mendakwa pihaknya mengadakan persembahan dengan “persetujuan” tuan rumah.

    “Persembahan begini biasa kami lakukan dan sudah tentu membabitkan penyanyi wanita. Cuma saya mohon sekiranya tindakan ini salah, maka beri garis panduan yang sepatutnya,” katanya.

    Mufti Kelantan pula berkata majlis perkahwinan itu tidak sepatutnya diselitkan persembahan yang bercanggah dengan Islam.

    “Lenggang lenggok serta gelek digayakan oleh penari walaupun atas nama seni tari tetap berdosa apatah lagi jika dilakukan di hadapan khalayak ramai,” kata Datuk Mohamad Shukri Mohamad kepada akhbar itu. - MalayMail

    Subjects:

  • No Comment to " [Video] : Ingatkan Dikir Barat, Rupanya Gelek Dangdut "