• Universiti Penyelidikan Malaysia Jana Pulangan Pelaburan RM7.17 Bilion

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pelaburan kerajaan sebanyak RM5.58 billion sejak 2007 hingga 2015 dalam lima universiti penyelidikan di negara ini telah menjana pulangan RM7.17 bilion, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

    Beliau berkata ia merupakan pulangan pelaburan penyelidikan yang dihasilkan daripada pelbagai aspek dan bidang termasuk penerbitan buku, penyediaan latihan, dan perkhidmatan pakar runding.

    "Kejayaan ini sekali gus membuka mata universiti-universiti terkemuka dunia untuk bekerjasama dengan universiti tempatan dalam pelbagai bidang penyelidikan.

    "Pencapaian itu juga membolehkan kajian dan penyelidikan universiti-universiti tempatan dijadikan sumber rujukan oleh universiti luar," katanya ketika ditemui sebelum program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel Selasa malam.

    Lima universiti berstatus universiti penyelidikan di Malaysia ialah Universiti Malaya (UM) , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

    Idris berkata selain meningkatkan reputasi pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa, ia juga mampu menarik kemasukan pensyarah dan pelajar asing untuk bekerja dan belajar di universiti tempatan.

    Katanya universiti penyelidikan tersebut mempunyai fokus penyelidikan translasional tersendiri yang mampu menjadi penyelesaian kepada isu nasional dan antarabangsa.

    "Sebagai contoh, Universiti Malaya melakukan penyelidikan prostetik bionik yang memberi sumbangan dalam bidang kesihatan, Universiti Sains Malaysia dalam bidang arkeologi dan Universiti Putra Malaysia melalui penghasilan padi U-Putra yang berupaya meningkatkan hasil padi kepada 30 peratus dalam bidang pertanian,"jelasnya.

    Idris berkata KPT berharap agar universiti penyelidikan Malaysia dapat meneruskan usaha pembudayaan penghasilan penyelidikan berimpak tinggi dan meningkatkan kerjasama bersama industri bagi mencapai sasaran yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

    Menurutnya kementerian mahu meningkatkan usaha-usaha dalam bidang pengajaran dan pembelajaran selain memastikan penyelidikan memberi sumbangan dan manfaat kepada masyarakat. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Universiti Penyelidikan Malaysia Jana Pulangan Pelaburan RM7.17 Bilion "