• Tuntutan Hak Sarawak Hanya Sandiwara Politik - PAN

    Published: Wednesday, 5 July 2017
    A- A+

    KUCHING: Kepimpinan Parti Amanah Nasional (PAN) terus melancarkan serangan terhadap kerajaan negeri Sarawak pimpinan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dengan memperlekeh usaha kerajaan negeri menuntut hak-haknya.

    Terbaharu, Timbalan Presiden PAN Salahuddin Ayub menyifatkan misi pasukan peguam Sarawak ke London untuk mencari fakta sebenar berkaitan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 hanyalah sandiwara politik murahan.

    Salahuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah kerajaan negeri menghantar pasukan peguam ke London untuk mengkaji perkara tersebut tidak lebih daripada satu sandiwara politik murahan Kerajaan BN Sarawak.

    "Sandiwara untuk menyakinkan rakyat Sarawak kononnya Kerajaan Sarawak mahu membuat tuntutan tambahan terhadap Kerajaan Persekutuan,” katanya

    Menurutnya, Ketua Menteri Sarawak seharusnya menumpukan perhatian kepada masalah yang dihadapi rakyat Sarawak seperti masalah tanah, kesenjangan hak-hak suku kaum, pembangunan luar bandar dan pendidikan anak-anak Sarawak

    "Usahlah memainkan sentimen semangat anti Malaysia dan perasaan rakyat Sarawak dengan mengheret mereka ke kancah sandiwara politik sedangkan masalah empirikal rakyat Sarawak tidak diselesaikan," ujarnya.

    Beliau berkata, langkah tersebut merupakan tindakan terdesak kerajaan Sarawak untuk meraih sokongan rakyat.

    Mengulangi kenyataannya sebelum ini, Salahuddin berkata, untuk memahami perjanjian tersebut bukanlah suatu yang sukar dan tidak ada keperluan untuk menghantar pasukan peguam ke London.

    “Kerajaan Sarawak hanya perlu membaca empat sudut Perjanjian Malaysia bagi mengetahui dan menghadami hak yang ada pada Sarawak kerana menjadi prinsip undang-undang bahawa segala terma yang dipersetujui selama ini telah termaktub di dalamnya.

    "Hampir 55 tahun Sarawak bersama Malaysia, nampaknya KM Abang Jo masih jahil berkenaan MA63.

    "Bukankah suatu yang sangat naif apabila setelah 56 tahun terbentuknya Malaysia, Kerajaan Sarawak tiba-tiba beriya-iya benar mahu mencari sumber rujukan baru sedangkan Perjanjian Malaysia sudah lama ditandatangani dan dilaksanakan?," katanya dipetik portal Malaysia Dateline

    Beliau menambah, Ketua Menteri Sarawak sepatutnya mendedahkan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri bagi misi rombongan ke London untuk mencari dan mengkaji bahan rujukan berkaitan hak negeri itu mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Tuntutan Hak Sarawak Hanya Sandiwara Politik - PAN "