• 'Tunjuklah kedewasaan sikit' - KPN

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Polis sudah memanggil 11 individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian kekecohan yang berlaku antara Pemuda UMNO dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Selasa lalu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kesemua mereka dipanggil oleh Polis Daerah Dang Wangi, bagi membantu polis menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

    "Setakat ini, biarkan pihak polis menyiasat dulu. Perkara kecoh-kecoh macam itu adalah satu perkara remeh.

    "Kita semua orang dewasa, bukan budak-budak lagi, jadi kena tunjukkan kedewasaan kita. Bagi saya, terlibat dalam kekecohan macam itu adalah memalukan," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, pagi tadi.

    Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut identiti mereka yang dipanggil bagi membantu siasatan.

    Dalam kejadian itu, lebih 30 orang ahli ARMADA berarak dari pusat beli-belah Sunway Putra menuju ke PWTC untuk menyampaikan jemputan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung forum Nothing To Hide 2.0.

    Kumpulan berkenaan kemudian bertembung dengan hampir 100 ahli Pemuda UMNO hingga berlakunya kejadian tolak-menolak dan memaksa pihak polis campur tangan dan mengarahkan dua kumpulan itu bersurai. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Tunjuklah kedewasaan sikit' - KPN "