• Tukang jahit didakwa sokong Daesh

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+


    SLIM RIVER: Seorang tukang jahit warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menggalakkan keahlian, menyokong ideologi dan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, antara Mei hingga Jun lalu.

    Tertuduh, Rino Kaswara Kasmar, 34, mengangguk faham sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

    Bagi pertuduhan pertama, Rino Kaswara didakwa menggalakkan keahlian di dalam kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT) dan kumpulan pengganas Daesh melalui aplikasi telegram di dalam kumpulan perbualan AnsharulKhilaafah of Filibiin-Indonesia dengan menggunakan nama 'Rijal Mujahideen Minangkabau'.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Medan Niaga, Jalan Pasar, pekan Slim River pada 2 Mei hingga 12 Jun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 130G (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun 30 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

    Dia juga didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan berbaiah kepada kumpulan pengganas terbabit melalui aplikasi telegram di dalam kumpulan perbualan sama dan dilakukan di lokasi sama pada 2 Mei lalu.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas harta yang digunakannya untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan ketiga, Rino Kaswara didakwa memiliki telefon bimbit jenama Lenovo yang di dalamnya mengandungi item-item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan pengganas Daesh.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bazar Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Jalan Pasar, pekan Slim River pada 12 Jun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan dilucutkan hak item terbabit, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syalia Ain Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Nurul Farena menetapkan 7 Ogos ini untuk kes itu disebut semula sementara menunggu izin memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tukang jahit didakwa sokong Daesh "