• Tuduh Komuniti Lain Punca Perpecahan, Politik Sembunyikan Kelemahan Diri

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+

    Kenyataan semakin tidak rasional yang disuarakan pemimpin Sarawak menyebabkan masyarakat berbilang kaum di negeri ini berasa keliru. Apalah maknanya jika Sarawak telah diikhtiraf sebagai negeri perpaduan sedangkan kenyataan pemimpin mendakwa ada komuniti cuba memecahbelah kaum Dayak sejak berdekad.

    Kenyataan seperti itu sukar diterima bagi sebuah negeri yang sekian lama mengamalkan toleransi pelbagai kaum. Apa yang pasti, kenyataan pemimpin tersebut pada hakikatnya hanyalah bertujuan menyembunyikan kelemahan dan kesilapan sendiri.

    Tidak adil dinyatakan Dayak berpecahbelah sedangkan kaum Bidayuh begitu baik perpaduan dan kerjasama dengan kaum lain walaupun tergolong sebagai Dayak. Sebagai contoh, apa-apa berkaitan pembangunan kaum Dayak Bidayuh telah dilaksanakan dengan baik atas dasar kesepakatan kaum itu sendiri seperti terbina gahnya bangunan pertubuhan mereka DBNA.

    Hakikat sebenar ialah kelemahan pemimpin tersebut dalam menyatukan kaumnya sendiri, dan kegagalan itu sedang cuba disembunyikan dengan menuduh pihak lain.

    Lihat sahaja kegagalan pemimpin tersebut dalam melaksanakan pembangunan di kawasan kaumnya sendiri. 

    Walaupun parti kepimpinan beliau merupakan antara yang terbaik di Sarawak, namun dalam hal perpaduan kaum sendiri dan pembangunan kawasan jelas tidak seperti yang diharapkan. Kawasan yang dikuasai parti beliau adalah kawasan yang mungkin boleh dianggap paling sedikit masalah kerana kawasan tersebut mempunyai empangan tenaga elektrik.

    Yang hairannya kawasan memiliki empangan untuk menjana tenaga elektrik yang murah, tapi 70 peratus penduduk masih tidak dibekalkan tenaga elektrik. Malah jalanraya untuk keperluan penduduk juga gagal dipenuhi.

    Maka tidak sewajarnya pemimpin tersebut menyalah pihak lain sebagai punca perpecahan kaum mereka sedangkan kelemahan sendiri menyebabkan kaum mereka berpecahbelah. Inilah politik yang sembunyikan kesilapan sendiri. - Oleh: Abdul Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Tuduh Komuniti Lain Punca Perpecahan, Politik Sembunyikan Kelemahan Diri "