• Tour de France: Aru Tak Hormat 'Jersi Kuning'

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    CHAMBERY, Perancis: Chris Froome dan Fabio Aru menafikan mereka bertengkar pada saingan peringkat sembilan yang dipenuhi kemalangan ketika perlumbaan Tour de France, malam tadi.

    Aru tampak melakukan serangan pada pendakian terakhir laluan sejauh 181.5 kilometer dari Nantua ke Chambery ketika pendahulu saingan Froome mengalami masalah mekanikal.

    Froome berang kerana pada dua tahun lalu, dia merasakan rakan sepasukan Aru dari Itali, Vincenzo Nibali juga melakukan perkara sama pada saingan peringkat Tour.

    Ada peraturan tidak bertulis dalam sukan berbasikal menyatakan pelumba lain tidak dibenarkan menyerang pemilik jersi kuning (pendahulu keseluruhan) jika dia mengalami masalah mekanikal.

    Sama seperti Nibali yang mendakwa dia tidak sedar masalah dihadapi Froome dua tahun lalu, Aru juga melakukan perkara sama.

    "Hari ini kami merancang untuk menyerang, kami perlu melakukannya jauh daripada kemuncak pendakian. Jadi saya rasa ia adalah masa yang sesuai di Mont du Chat dan melakukan serangan," kata pelumba Astana itu.

    "Secara jujur saya tidak nampak Chris Froome mengalami masalah mekanikal. Saya sangat memberi tumpuan terhadap serangan itu.

    "Kemudian, saya diberitahu menerusi radio bahawa Froome terpaksa berhenti kerana masalah mekanikal. Jadi saya juga berhenti untuk menantinya."

    Versi Aru itu tampak sedikit janggal dengan rakaman televisyen menunjukkan Froome berada di depannya dan mengangkat tangan sambil melihat ke belakang bagi mendapatkan bantuan kereta pasukan.

    Pada ketika itu, Aru dari belakang kumpulan pendahulu, terus memecut yang menyebabkan Froome ketinggalan.

    Semua pencabar utama mengikut serangan Aru tetapi mereka tidak bertukar-tukar untuk memimpin perlumbaan.

    Aru dilihat berang kepada pelumba lain ketika menyuruh mereka berada di depan untuk membantu tetapi tiada sesiapapun mengikutnya. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Tour de France: Aru Tak Hormat 'Jersi Kuning' "