• Top Glove Keluarkan Kondom Tahun Depan

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd akan memulakan pengeluaran kondom tahun depan.

    Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Dr Lim Wee Chai, berkata pelaburan awal bagi pengeluaran kondom itu adalah sebanyak RM75 juta.

    Katanya, pengeluar sarung tangan getah terkemuka dunia itu mahu menembusi pasaran kondom sebagai antara strategi syarikat bagi mempelbagaikan perniagaannya untuk menjamin kestabilan pendapatan kumpulan pada masa depan.

    Beliau berkata, pihaknya melihat terdapat potensi pertumbuhan besar untuk syarikat berkenaan menembusi pasaran pengeluaran kondom.

    "Kami akan melabur secara berperingkat dalam pengeluaran kondom ini. Jentera dan kilang berkaitan dijangka siap menjelang Ogos tahun depan.

    "Kami jangka segmen ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa depan," katanya pada persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2017, di sini baru-baru ini.

    Mengenai perniagaan sarung tangan getah, Pengarah Eksekutif Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, syarikat itu mahu meningkatkan penguasaan pasaran globalnya dalam sarung tangan kepada 30 peratus menjelang 2020.

    Beliau berkata, ketika ini, syarikat itu menguasai 25 peratus pasaran sarung tangan global.

    Melangkah ke hadapan, katanya, Top Glove akan meningkatkan lagi penggunaan automasi di kemudahan pengeluarannya dan mengupah lebih ramai graduan untuk kerja yang memerlukan kemahiran tinggi.

    "Dalam tempoh empat tahun lalu, Top Glove menggunakan automasi dalam pengeluarannya, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada sumber manusia sebanyak 34 peratus (dalam tempoh itu)," katanya.

    Mengenai rancangan pengembangan perniagaannya di luar negara, Cheong Guan berkata, pihaknya bercadang mengembangkan lagi perniagaan sarung tangannya di China.

    Beliau berkata, pihaknya melihat terdapat pertumbuhan besar bagi pasaran China yang kini menyumbang lima peratus kepada jumlah jualan syarikat.-BH

    Subjects:

  • No Comment to " Top Glove Keluarkan Kondom Tahun Depan "