• Todt Beri Amaran Terhadap Vettel

    Published: Sunday, 9 July 2017
    A- A+

    SPIELBERG (Austria): Sebastian Vettel berdepan 'hukuman berat' sekiranya dia menjadi punca kepada kesalahan utama perlumbaan di masa depan, kata Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Jean Todt.

    Sebelum ini Todt, digesa Lewis Hamilton supaya menjelaskan kenapa pemandu Ferrari, Vettel, tidak didenda kerana serangan 'merbahaya' ke atas jentera Mercedes dipandunya ketika Grand Prix (GP) Azerbaijan bulan lalu.

    Tahun lalu, Vettel menyelar Pengarah Perlumbaan FIA, Charlie Whiting di GP Mexico menerusi transmisi radio pasukan.

    Ditanya mengenai kegagalan mengawal kemarahan yang sekali lagi dilakukan Vettel, Todt berkata: "Mexico adalah kesalahan yang jelas berlainan (berbanding Baku).

    "Kita sudah melihat yang Sebastian sering tidak mampu mengawal dirinya. Saya juga pernah bersama pemandu dan mereka berada dalam situasi sangat tertekan.

    Saya fikir kamu harus cuba mentafsirkan keadaan juga. "Semua ini tidak memberikan mereka ruang untuk melakukan sesuatu dengan betul tetapi kamu harus cuba dan memahaminya.

    "Sebastian sudah dikenakan beberapa amaran keras. Ia tidak akan berlaku lagi dan sekiranya berlaku lagi, maka akibatnya pasti akan sangat besar."

    Menggunakan jentera Ferrari yang dipandunya, Vettel melanggar tayar Hamilton di belakang kereta keselamatan ketika perlumbaan Baku selepas merasai pemandu Britain itu seakan cuba 'mengujinya'.

    Bagaimanapun, dakwaan Vettel itu dinafikan berdasarkan data, stewards dan kedua-dua pasukan. Vettel kemudiannya memohon maaf atas tindakannya itu.

    Dia didenda penalti 10 saat ketika perlumbaan dan selepas perbicaraan lanjut di Paris, Vettel hanya dikenakan hukuman melakukan 'aktiviti pendidikan' bagi pihak FIA. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Todt Beri Amaran Terhadap Vettel "