• Tingkat Kemudahan Perumahan, Persekitaran Demi Kesejahteraan Keluarga

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu meningkatkan keperluan perumahan dan persekitaran selesa bagi mencapai indeks kesejahteraan keluarga yang lebih baik, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

    Beliau berkata berdasarkan kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) 2016, domain perumahan dan persekitaran mencatatkan skor terendah iaitu 6.24 daripada skala maksimum 10 berbanding tujuh domain lain yang terdapat dalam kajian itu.

    “Kajian IKK 2016 menunjukkan penduduk Malaysia masih memerlukan kemudahan perumahan yang mampu dimiliki tidak kira di kawasan kampung, mahupun bandar kerana dengan adanya rumah sendiri, kesejahteraan hidup keluarga di negara ini akan bertambah baik.

    “Kemudahan yang menjamin persekitaran yang bersih dan selesa juga perlu disediakan bagi membolehkan penduduk Malaysia menikmati kehidupan selesa tanpa pencemaran,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program 911 siaran Bernama News Channel sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2017, hari ini.

    Tujuh domain lain dalam kajian IKK 2016 ialah Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian (8.04), Kese­lamatan Keluarga (7.96), Hubung­an Kekeluargaan (7.90), Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (7.84), Kesihatan Keluarga (7.18), Ekonomi Keluarga (7.05) serta Keluarga dan Teknologi Komunikasi (6.38).

    Rohani berkata susulan kajian itu pihaknya menghantar laporan kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri agar tindakan bersesuaian dapat dilakukan di negeri masing-masing bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga di negara ini, sekali gus menaikkan skor indeks kajian IKK 2018 nanti.

    Sementara itu, beliau berkata bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2017, program kemasyarakatan Ekofamili 2017 akan dijalankan sepanjang Julai bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti setempat.

    Program itu akan dilaksanakan di 14 komuniti terpilih melalui program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti di seluruh Malaysia, yang akan bermula di Beaufort, Sabah 14 Julai ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tingkat Kemudahan Perumahan, Persekitaran Demi Kesejahteraan Keluarga "