• Tiada Tanda Kolestrol Jadi Pembunuh Senyap, Kata Pakar

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    Peningkatan paras kolesterol dalam badan boleh menjadi pembunuh senyap tanpa menunjukkan tanda-tanda untuk tempoh yang berpanjangan, kata seorang pakar perubatan.

    Oleh itu, mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas perlu menjalani pemeriksaan untuk mengetahui tahap kolesterol dan mereka harus menjalani pemeriksaan sekali pada setiap lima tahun, kata pakar perunding kardiologi Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Jeyamalar Rajadurai.

    “Kebanyakan mereka yang mempunyai tahap kolesterol yang tinggi tidak menunjukkan tanda-tanda, jadi ramai yang tidak sedar bahawa kandungan kolesterol mereka terlalu tinggi.

    “Ujian darah akan dilakukan untuk memeriksa tahap kolesterol dalam darah,” kata beliau pada forum interaktif “'Key Challenges of Managing High Cholesterol for High Risk Patients” by MSD (dikenali sebagai MErck & Co, di Amerika Syarikat dan Kanada) di sini semalam.

    Beliau menjelaskan bahawa peningkatan tahap kolesterol, dikenali sebagai Hiperkolesterolemia dalam sains perubatan, mungkin disebabkan oleh faktor keturunan, lebihan pengeluaran kolesterol dalam hati kerana kurang efisien membuang kolesterol “jahat” dalam darah.

    “Perilakuan yang meningkatkan risiko Hiperkolesterolemia termasuk pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, obesiti dan genetik.

    “Menurut kajian perubatan, keadaan genetik ialah apabila kolesterol boleh diwarisi dan oleh itu, kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang menghadapinya perlu memulakan rutin pemeriksaan seawal usia lima tahun.

    “Kira-kira satu daripada setiap 500 orang mempunyai masalah diwarisi ini dikenali sebagai 'familia hypercholesterolemia' yang boleh menyebabkan peningkatan paras kolesterol yang sangat tinggi,” kata beliau.

    Sementara itu, perunding kanan kardiologi Dr David Quek berkata perubahan gaya hidup yang disyorkan bagi mereka yang mengalami Hiperkolesterolemia termasuk berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat.

    “Secara purata, pemakanan dan senaman boleh menurunkan tahap kolesterol jahat sebanyak kira-kira 10 peratus dalam badan sementara ubat-ubatan boleh menurunkan kolesterol jahat sebanyak 20 peratus hingga kepada lebih 50 peratus,” kata beliau.

    Beliau berkata keadaan Hiperkolesterolemia yang tidak dikawal pada individu boleh menyebabkan pembentukan plak dalam arteri, yang seterusnya boleh membawa kepada letusan plak dalam saluran.

    "Letusan ini boleh dikaitkan dengan pendarahan dan pembentukan darah beku di saluran-saluran tersebut.

    "Dari situ, darah beku itu boleh meresap masuk ke dalam saluran darah dalam jisim pepejal yang boleh menyekat pengaliran darah ke organ-organ utama melalui arteri. Begitulah bagaimana serangan jantung dan strok berlaku," kata beliau.

    Dr Jeyamalar berkata Hiperkolesterolemia tidak boleh diubati tetapi boleh mengurangkan risiko diserang penyakit jantung dan strok dengan mengambil ubat-ubatan.

    “Untuk membantu menurunkan tahap kolesterol “jahat” dalam darah, doktor boleh mempreskripsikan pengambilan satu ubat-ubatan atau kombinasi ubat-ubatan. Ubat-ubatan utama yang menurunkan kolesterol dalam darah termasuk statins, fibrates, resins, niacin dan cholesterol absorption inhibitors.

    “Apabila seorang pesakit didiagnosis mengalami Hiperkolesterolemia, mereka perlu mengambil ubat tepat pada masa yang ditetapkan,” katanya.

    Beliau berkata di peringkat global, satu pertiga daripada penyakit jantung Iskemik disebabkan oleh kolesterol yang tinggi, yang dianggarkan menyebabkan 2.6 juta kematian dan 29.7 juta kecacatan dalam tahun-tahun kehidupan.

    “Penyakit jantung Iskemik kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia sejak sepuluh tahun lalu.

    “Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah kematian akibat penyakit jantung Iskemik pada 2014 ialah yang tertinggi iaitu pada 13.5 peratus,” kata beliau. — Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Tanda Kolestrol Jadi Pembunuh Senyap, Kata Pakar "