• The Flying Doctor tabik The Speedy Jantan

    Published: Wednesday, 19 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan perlu 'kerja kuat' secara berterusan jika mahu memenangi pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini serta Sukan Asia, Jakarta 2018.

    Peringatan itu disuarakan bekas pemegang rekod kebangsaan, Tan Sri Dr M Jegathesan yang menyifatkan pelari muda itu mampu melangkah lebih jauh dalam dunia olahraga jika kekal fokus.

    "Tahniah dan ia satu pencapaian yang bagus kerana rekod ini sudah lama bertahan. Khairul masih muda dan boleh pergi lebih jauh serta harus berusaha untuk memenangi Sukan SEA dan Sukan Asia di Jakarta tahun depan.

    "Ia satu perkara yang cukup baik dengan kemunculan pelari pecut seperti Khairul Hafiz yang mendahului selepas beberapa dekad.

    "Saya gembira dengan kejayaan ini (memecahkan rekod kebangsaan)," kata Jegathesan.

    Percaturan Khairul Hafiz yang tidak mengambil bahagian dalam acara 100m di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi berbaloi apabila meninggalkan jauh pencabar lain dengan mencatat kepantasan 20.90s, sekali gus meleburkan rekod lama Jegathesan 20.92s.

    Rekod kebangsaan lama dilakar Jegathesan atau digelar 'The Flying Doctor' pada Sukan Olimpik Mexico 1968.

    Khairul Hafiz yang dikenali sebagai 'The Speedy Jantan' mewakili Melaka turut memperbaharui rekod kejohanan 20.94s yang dicatat Kento Terada di Kangar pada 1996 untuk memenangi emas acara itu, meninggalkan Jonathan Nyepa (21.29s) dan G Aravinn Thevar (21.31s).

    Rekod Sukan SEA acara itu adalah 20.69s milik Reanchai Seeharwong yang dicipta atlet Thailand itu di Brunei pada 10 Ogos 1999.

    Manakala atlet Vietnam, Le Trong Hinh mencatat kepantasan 20.89s ketika memenangi emas di Singapura dua tahun lalu.

    Tahun lalu di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Khairul Hafiz turut mencuri tumpuan apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara pecut 100m dengan catatan 10.18s untuk mengatasi catatan 10.30s milik Watson Nyambek, yang bertahan selama 18 tahun.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " The Flying Doctor tabik The Speedy Jantan "