• Terus Proaktif Pelihara Keselamatan Pantai Timur Sabah

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU – Polis Sabah akan terus dalam keadaan berjaga-jaga dan lebih proaktif dalam memastikan keselamatan negeri ini khususnya di kawasan pantai timur terus terpelihara, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

    Beliau berkata kesiapsiagaan semua anggota keselamatan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa memandangkan situasi di bandar Marawi, Mindanao, Filipina masih belum aman.

    “Polis akan sentiasa berjaga-jaga, malahan dengan situasi di bandar Marawi yang masih belum tenteram kita akan terus berhati-hati dan lebih proaktif. Rondaan oleh polis marin di pesisir perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) juga diperkemaskan lagi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Pada Mei lepas, berlaku serangan ke atas bandar Marawi oleh kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pergerakan pengganas Daesh sehingga mengakibatkan anggota pasukan keselamatan Filipina terkorban dan orang awam terpaksa berpindah.

    Keadaan darurat diisytiharkan di Mindanao selepas tercetus pertempuran antara tentera kerajaan Filipina dan kumpulan militan di bandar Marawi.

    – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Terus Proaktif Pelihara Keselamatan Pantai Timur Sabah "