• Terselamat Maut Walaupun Digilis Kereta

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    BEIJING: Seorang penunggang motosikal terselamat walaupun selepas digilis sebuah kereta dalam kemalangan di timur China kelmarin.

    Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan jatuh selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan sebelum kepalanya digilis kereta terbabit.

    Bagaimanapun, dia kelihatan berdiri dan mengangkat semula motosikalnya sejurus selepas kejadian.

    Menurut laporan, kejadian berlaku di Lanxi di wilayah Zhejiang dan pemandu kenderaan itu yang dirakam melanggar dua garisan kuning dilihat memecut kenderaannya tanpa mempedulikan nasib penunggang motosikal itu.

    Pegawai polis trafik bandar Lanxi, Wu Jiayao ketika mengulas video itu berkata, lelaki terbabit bernasib baik kerana dia memakai topi keledar.

    Sementara itu, di Preston Candover, England, seorang pemandu muda bernasib baik kerana terselamat selepas cermin di hadapannya ditembusi dua kayu pagar.

    Kejadian berlaku selepas pemandu itu terbabas dan merempuh pagar sebuah rumah.

    Pasukan perubatan yang tiba ditempat kejadian selepas menerima laporan menemui pemandu terbabit yang cedera ringan di dalam kereta itu.

    Dia dirawat di tepi jalan sebelum dibawa ke hospital di Winchester.

    Seorang jurucakap perkhidmatan ambulans berkata: “Lelaki itu memang bernasib baik. Kayu itu hanya beberapa sentimeter dari kepalanya.”-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Terselamat Maut Walaupun Digilis Kereta "