• Terlalu awal umum Rabies pulih

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+
    BAU - "Terlalu awal untuk mengisytiharkan bahawa wabak rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak telah pun pulih," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

    Menurutnya, sehingga kini keadaan wabak itu di Sarawak masih stabil dan kawasan diisytihar wabak kekal 22.

    "Terlalu awal untuk buat apa-apa keputusan atau pengisytiharan tetapi kita harapkan tidak ada tempat baharu. Sekiranya berlaku, kita akan gunakan langkah-langkah yang sama (untuk mengawal penularan wabak)," katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi pemvaksinan di Dewan Suarah Bau di sini hari ini.

    Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

    Kawasan Bau mempunyai 104 kampung dan dianggarkan terdapat 8,000 ekor anjing di kawasan tersebut.

    Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata beliau sudah berbincang dengan kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) untuk menghantar lebih banyak tenaga untuk membantu menangani penularan wabak rabies.

    "Mungkin kita akan tambah 10 atau 20 orang lagi yang diperlukan supaya kita dapat wujudkan lebih banyak team supaya kita dapat bergerak ke seluruh kawasan berkaitan.

    "Selebihnya jika diperlukan saya akan maklumkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara sekiranya ada keperluan untuk dapatkan bantuan daripada agensi lain," katanya.

    Mengenai vaksin, Ahmad Shabery berkata masyarakat tidak perlu bimbang kerana vaksin mencukupi oleh kerana sejumlah 47,000 vaksin dibekalkan sejak awal lagi di Sarawak selain 25,000 lagi melalui kerjasama antarabangsa.

    "Kita juga telah tempah 50,000 lagi vaksin menerusi Pertubuhan Kesihatan Haiwan Bangkok," katanya.

    Beliau berkata sejak penularan wabak rabies, sebanyak 23,000 vaksin sudah digunakan.

    Selepas meninjau proses pemvaksinan di Dewan Suarah Bau, Ahmad Shabery bersama rombongan berkunjung ke Kampung Serikin pula untuk meninjau proses sama. - Bernama
  • No Comment to " Terlalu awal umum Rabies pulih "