• TERKINI: 1 maut, 18 hilang banjir di selatan Jepun

    Published: Thursday, 6 July 2017
    A- A+


    ASAKURA: Sekurang-kurangnya seorang mangsa dikhuatiri lemas manakala 18 lain masih hilang dalam banjir besar yang melanda selatan Jepun, dengan pihak berkuasa memberi amaran supaya ribuan penduduk menyelamatkan diri.

    Hujan lebat luar biasa menyebabkan air sungai melimpah, menenggelamkan rumah dan jalan raya selain sekolah.

    Ribuan anggota tentera dan penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa yang terputus hubungan akibat banjir atau diancam tanah runtuh, ketika peramal kaji cuaca memberi amaran bencana terburuk.

    "Kami berada dalam situasi amat serius," kata Timbalan Perdana Menteri Taro Aso, memberi amaran bahaya bukit runtuh selain menambah, 'ramai mangsa masih hilang.'

    Agensi meteorologi berkata, lebih 50 sentimeter hujan menenggelamkan sebahagian kawasan di Kyushu, bahagian paling selatan empat pulau utama Jepun dalam tempoh 12 jam semalam.

    Hujan lebat akan berterusan sehingga Jumaat, kata agensi itu ketika rantau terbabit bergelut dengan serangan taufan minggu ini.

    Jepun menghantar 7,500 anggota polis, kakitangan penyelamat dan tentera di kawasan terjejas di Kyushu, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga.

    Reuters dalam laporannya menyebut, 400,000 orang terpaksa dipindahkan akibat limpahan air sungai.

    Pihak berkuasa berkata, kehadiran anggota tentera mungkin dilanjutkan sehingga 5,000 orang dan 50 helikopter jika diperlukan. - AFP/Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " TERKINI: 1 maut, 18 hilang banjir di selatan Jepun "