• Taklimat Marawi kepada Menteri Pertahanan ASEAN

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan supaya 10 Menteri Pertahanan ASEAN dipanggil dan diberi taklimat mengenai isu yang melanda bandar Marawi, Filipina ketika ini.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengusulkan cadangan itu berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Filipina selaku Pengerusi ASEAN mengenai perkara itu supaya ia dapat diadakan segera.

    Katanya, perkara itu perlu dikongsi bersama kerana mungkin ada negara anggota lain tidak melihat ancaman Daesh boleh menyentuh kedudukan di negara mereka sendiri.

    "Malaysia akan memainkan peranan supaya Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar juga hadir kerana sekiranya ketidakstabilan di suatu kawasan atau di suatu negara berlaku, ia boleh menjejaskan semua negara di ASEAN.

    "Justeru, langkah proaktif mesti diambil. Kita boleh bergantung kepada deklarasi yang dibuat di Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pada tahun 2015 bahawa kita akan melawan IS (Islamic State) atau Daesh dan akan melakukannya bersama," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini, sebentar tadi.

    Dalam pada itu, Hishammuddin, berkata Malaysia merancang menghantar bantuan kemanusiaan termasuk perubatan ke Marawi, Filipina dalam masa terdekat.

    Katanya, beliau akan membawakan perkara itu kepada kabinet bagi mendapatkan kelulusan terlebih dulu.

    "(Bantuan kemanusiaan) yang pertama sudah dihantar sebanyak 16 tan menggunakan (pesawat) A400M.

    "Sekarang ini (mahu hantar) kumpulan dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan juga permintaan mereka untuk mendapatkan sistem perawatan air serta bantuan perubatan yang sedang dirancang. Ini adalah fasa kedua dan saya kena bawa ke kabinet dulu untuk dapat kelulusan," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Taklimat Marawi kepada Menteri Pertahanan ASEAN "