• Taklimat HSR KL-S'pura Tarik Minat 165 Syarikat

    Published: Thursday, 6 July 2017
    A- A+

    SINGAPURA: Taklimat industri bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur (KL) - Singapura pada Rabu menarik minat 165 syarikat tempatan dan antarabangsa.

    Ia dijalankan secara bersama oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR), Malaysia dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura. Para peserta terdiri daripada keseluruhan rantaian nilai HSR, termasuk pembekal dan penyepadu gerabak dan sistem, pengendali rangkaian, perunding kejuruteraan dan undang-undang, pembiaya dan pelabur, pengendali serta syarikat pembinaan.

    Perkembangan terkini kemajuan projek HSR KL-Singapura dimaklumkan kepada para peserta pada taklimat itu, termasuk petunjuk parameter tender, proses pemerolehan dan penyeragaman keperluan kawal selia untuk tender syarikat aset.

    Ia juga adalah platform untuk menggalakkan minat syarikat dalam membentuk sebuah konsortium bagi menyertai tender syarikat aset. Ketua Eksekutif LTA, Ngien Hoon Ping, berkata kedua-dua pihak gembira dengan minat kukuh yang ditunjukkan syarikat di seluruh dunia terhadap taklimat industri itu.

    "Kami gembira dengan minat memberangsangkan daripada syarikat di seluruh dunia bagi taklimat industri ini dan mengambil peluang bagi mengesahkan semula komitmen kedua-dua kerajaan ​dalam menjayakan projek ini," katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, susulan daripada taklimat industri itu, tender syarikat aset akan ditawarkan pada akhir tahun ini. "Kami bersedia untuk menerima bidaan berkualti daripada pelbagai konsortium," katanya.

    Syarikat aset bertanggungjawab untuk mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara semua gerabak, serta mereka bentuk, membina, membiayai, mengendali dan menyelenggara semua aset kereta api seperti kerja landasan, kuasa, pengisyaratan dan telekomunikasi.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata HSR KL-Singapura adalah projek prasarana pengangkutan mega bagi kedua-dua negara.

    "Oleh itu, penting untuk kami meneroka semua peluang inovasi bagi memastikan ia dilaksanakan secara paling cekap.

    "Projek itu akan dilaksanakan mengikut fasa. Fasa semasa tertumpu kepada tender syarikat aset. Tender lain seperti syarikat kerja-kerja awam dan operasi akan dijalankan mengikut jadual projek dan pengumuman akan dibuat dalam jangka terdekat," katanya.

    Syarikat aset juga akan menetapkan dan melaksanakan Kod Rangkaian, untuk menyelaras kapasiti rangkaian sistem itu bagi keperluan pengoperasian dan penyelenggaraan.

    Tender syarikat aset akan mengutamakan keselamatan dan jaminan, kebolehsediaan dan kebolehpercayaan, teknologi yang terbukti, kefleksibelan operasi, reka bentuk berorientasikan pelanggan, dan kerjasama pelaksanaan projek seperti objektif pemerolehan.

    Susulan daripada taklimat itu, mesyuarat selanjutnya dijadualkan dengan peserta akan menyertai perbincangan dan mendapatkan maklum balas mengenai topik taklimat. Maklum balas yang diterima akan berkaitan ketetapan pelan pemerolehan dan spesifikasi tender yang dilaksanakan.

    HSR KL-Singapura adalah projek strategik antara kerajaan Malaysia dan Singapura yang bertujuan melancarkan perjalanan antara kedua-dua negara, mempertingkatkan hubungan perniagaan dan mendekatkan rakyat di kedua-dua negara jiran itu.

    Kedua-dua negara memeterai Perjanjian Dua Hala pada 13 Disember 2016 yang menetapkan perkara utama persetujuan bagi projek itu, termasuk parameter teknikal; model komersial; pemeriksaan kastam, imigresen dan kuarantin; aspek keselamatan dan jaminan, struktur kawal selia dan pendekatan pengurusan projek.

    HSR KL-Singapura akan merangkumi lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, (Ayer Keroh) Melaka serta Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri (Johor) di Malaysia dan stesen Jurong East di Singapura.

    Ia adalah laluan kereta api sepanjang 350 kilometer yang menghubungkan dua bandar raya itu dalam tempoh 90 minit dengan perkhidmatan berkelajuan tinggi itu disasar mula beroperasi pada 31 Disember 2026. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Taklimat HSR KL-S'pura Tarik Minat 165 Syarikat "