• Suami Tetak Jari Isteri Kerana Cemburu Wanita Itu Sambung Pengajian

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+

    Seorang lelaki Bangladesh yang cemburu dan tidak boleh menerima hakikat bahawa isterinya lebih pandai daripadanya, telah menetak hingga putus lima jari kanan wanita berkenaan hanya disebabkan isterinya itu menyambung pelajaran di peringkat ijazah tanpa kebenarannya.

    Pada hari kejadian, Rafiqul Islam, 30, telah menutup mata isterinya, Hawa Akhter, 21, dan menutup mulut wanita itu dengan pita pelekat, dengan alasan mahu memberikan hadiah.

    Dia kemudiannya mengambil pisau lalu menetak semua lima jari tangan kanan isterinya. Malah salah seorang saudaranya telah membuang jari Hawa ke dalam tong sampah bagi memastikan doktor tidak boleh menyambungnya.

    Rafiqul, yang bekerja di Emiriah Arab Bersatu sebelum ini telah memberikan amaran kepada isterinya bahawa wanita itu akan berdepan dengan kesan yang teruk jika tidak berhenti daripada belajar.

    “Selepas dia balik ke Bangladesh, dia mahu berbincang dengan saya. Tiba-tiba dia menutup mata dan mengikat tangan saya. Dia juga menutup mulut saya kononnya mahu beri hadiah tetapi dia sebenarnya mahu tetak jari saya,” kata Hawa.

    Rafiqul telah mengaku melakukan jenayah itu selepas ditangkap di Dhaka dan dia kini berdepan dengan hukuman penjara. Aktivis wanita mahu Rafiqul dihukum penjara seumur hidup.

    Sementara Hawa pula tekad untuk meneruskan pengajian dan kini dia sedang belajar menulis dengan menggunakan tangan kiri. Dia juga telah kembali menetap bersama ibu bapanya.-suaratv

    Subjects:

  • No Comment to " Suami Tetak Jari Isteri Kerana Cemburu Wanita Itu Sambung Pengajian "