• Stok Minyak Sawit Susut 1.93 Peratus Kepada 1.53 Juta Pada Jun

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia pada Jun 2017 susut 1.93 peratus kepada 1.53 juta tan metrik berbanding 1.56 juta tan metrik yang dicatatkan pada Mei.

    Bagaimanapun, stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat sebanyak 1.23 peratus kepada 798,387 tan metrik pada bulan dalam kajian daripada 788,702 tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

    Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam satu kenyataan hari ini, stok minyak sawit diproses turun 5.16 peratus kepada 728,656 tan metrik daripada 768,334 tan metrik.

    Dari segi pengeluaran, MPOB berkata pengeluaran MSM berkurangan 8.48 peratus kepada 1,51 juta tan metrik pada Jun daripada 1.65 juta tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

    Pengeluaran isirong sawit merosot 8.50 peratus kepada 370,806 tan metrik pada Jun berbanding pengeluarannya pada Mei sebanyak 405,274 tan metrik.

    Menurut MPOB, eksport minyak sawit merosot 8.39 peratus kepada 1.40 juta tan metrik pada Jun daripada 1.51 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

    Eksport oleokimia meningkat 10.24 peratus kepada 211,479 tan metrik daripada 191,831 tan metrik pada Mei.

    Eksport minyak isirong sawit menyusut 16.27 peratus kepada 68,219 tan metrik pada Jun daripada 81,478 tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, manakala dedak isirong sawit berkurangan 1.08 peratus kepada 156,974 tan metrik berbanding158,974 tan metrik.

    Pada Jun, eksport biodiesel menyusut 70.58 peratus kepada 9,440 tan metrik berbanding 32,087 tan metrik pada Mei. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Stok Minyak Sawit Susut 1.93 Peratus Kepada 1.53 Juta Pada Jun "