• SPRM Tahan 2 Beranak Seleweng RM4 Juta

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Dua beranak yang juga pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan kes menyeleweng kira-kira RM4 juta milik agensi itu, hari ini.

    Mereka masing-masing berusia 76 dan 43 tahun ditahan dalam satu operasi dilancarkan SPRM Melaka selepas disyaki menyalahguna kuasa untuk meluluskan pemindahan wang milik MISDEC ke akaun peribadi pada tempoh 2014 sehingga 2015.

    Siasatan awal SPRM mendapati wang berkenaan dipindahkan ke akaun syarikat milik dua beranak terbabit melalui beberapa keping cek.

    Sementara itu, sumber berkata, SPRM sudah menyita hampir RM600,000 dalam sebuah akaun syarikat dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda serta perkakasan syarikat bernilai hampir RM350,000.

    "MISDEC adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia serta Kerajaan Negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri dan memperuntukkan RM4.5 juta bagi tujuan latihan.

    "Namun sehingga kini, siasatan mendapati tiada sebarang latihan dilaksanakan. Malah kedua-dua suspek itu turut dipercayai menubuhkan sebuah syarikat dan memindahkan hampir kesemua wang itu ke dalam akaun syarikat terbabit bagi tujuan peribadi," kata sumber.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dijatuhi hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

    Kedua-duanya dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok untuk direman bagi membantu siasatan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM Tahan 2 Beranak Seleweng RM4 Juta "