• SKIN Bantu M'sia Dapat Pengecualian Visa AS

    Published: Tuesday, 18 July 2017
    A- A+

    CYBERJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang bakal dilaksanakan dalam sistem imigresen negara pada tahun 2021 akan dapat membantu Malaysia diterima dalam Program Pengecualian Visa (VWP) Amerika Syarikat (AS).

    Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi pelaksanaan SKIN, ia akan membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensinya untuk menangani jenayah rentas sempadan dan aktiviti pemerdagangan manusia dengan sistematik serta bersepadu.

    "Saya percaya, pelaksanaan SKIN akan dapat membantu Malaysia mematuhi perjanjian Preventing and Combating Serious Crime dan Homeland Security Presidential Directive No.6 yang menjadi pra-syarat penyertaan negara dalam VWP," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis KDN Menandatangani Perjanjian Konsesi Dengan Prestariang Berhad Bagi Menerajui Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) di sini, hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyaksikan perjanjian itu dengan KDN diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim manakala Prestariang diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Abu Hasan Ismail.

    SKIN yang akan dilaksanakan pada tahun 2021 direka bagi memperkasa sistem imigresen negara sekali gus menjaga keselamatan sempadan negara bagi memenuhi keperluan operasi imigresen masa kini dan hadapan.

    Ia termasuk meningkatkan koordinasi, menambah baik proses imigresen bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan menangani kegiatan jenayah rentas sempadan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " SKIN Bantu M'sia Dapat Pengecualian Visa AS "