• Siniakova julang WTA Terbuka Bastad

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+

    BASTAD, Sweden: Pemain Republik Czech, Katerina Siniakova memenangi gelaran WTA Terbuka Bastad di gelanggang tanah liat hasil kemenangan 6-3, 6-4 ke atas Caroline Wozniacki, awal pagi tadi.

    Wozniacki yang juga bekas pemain nombor satu dunia menerima kekalahan kelimanya di pentas final pada 2017.

    Bagi Siniakova, 21 yang kini menghuni ranking 56 dunia, ia adalah gelaran kedua kariernya selepas menjuarai Terbuka Shenzhen, tahun lalu.

    "Ia menakjubkan bagi saya. Pada tahun lalu, saya memberi persembahan baik. Jadi pada kali ini, saya gembira saya dapat kembali kerana bagi saya tidak dapat membayangkan minggu yang lebih baik, " kata Siniakova yang muncul naib juara di gelanggang sama pada tahun lalu.

    Sebelum itu, hujan lebat menangguhkan pertembungan final lebih daripada dua jam, sebelum aksi turut terganggu selepas kedua-dua pemain meminta rehat susulan kecederaan.

    Wozniacki yang sudah memenangi 42 gelaran sepanjang kariernya menyasarkan untuk menjuarai gelaran pertamanya musim ini selepas muncul naib juara di Doha, Dubai, Miami dan Eastbourne.

    Begitupun, usahanya digagalkan oleh kecederaan siku kanan yang membawa kepada 39 kesalahan tidak sepatutnya.

    "Ia perlawanan yang sukar. Katerina bermain dengan amat baik, jadi tahniah kepadanya kerana memenangi gelaran. Saya tidak sabar menanti perlawanan di Amerika Syarikat (AS) dan Terbuka AS.

    "Ia adalah kejohanan di mana saya dapat memberikan yang terbaik dan salah satu daripada kejohanan yang saya minati," katanya. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Siniakova julang WTA Terbuka Bastad "