• 'Si Haram Jadah Ni Dah Cium & Raba Adik Ipar Aku'

    Published: Monday, 17 July 2017
    A- A+

    Seorang wanita nyaris menjadi mangsa rogol ketika berhenti untuk membuang air kecil di sebuah tandas di stesen minyak Batu 30, Machang Kelantan pada Khamis lalu.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, wanita itu bersendirian ke tandas tersebut kerana kakaknya sedang bercakap di telefon.

    Difahamkan ketika kejadian, tandas terbabit kosong kecuali satu daripada empat tandas itu berkunci.

    Ketika mangsa masuk ke dalam tandas, tiba-tiba dia didatangi seorang lelaki yang memanjat dari tandas bersebelahan sebelum cuba merogolnya.

    Menurut abang ipar mangsa yang menceritakan detik kejadian cemas itu di media sosial, mangsa menjerit dan meronta-ronta untuk dilepaskan.

    “Adik ipar saya masuk ke tandas. Di dalam tandas itu ada empat tandas kesemuanya tandas dia telah periksa sebab nak cari tandas yang bersih. Namun ada satu tandas berkunci, ada orang di dalamnya.

    “Jadi dia masuk ke tandas keempat, tandas cangkung. Tiba-tiba ada seorang lelaki memanjat dari atas tandas itu terus terjun dan terkam dia.

    “Masa itu adik ipar tengah mancangkung nak buang air, bayangkanlah keadaan itu bagaimanalah kan.

    “Si haram jadah terus terkam sambil cium dan meraba adik ipar aku. Dia cuba telefon wife tapi ditepis lelaki terbabit,” demikian menurut posting di laman Facebooknya yang menjadi tular pada Sabtu.

    Suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah itu tidak memakai seluar dan hanya berbaju ketika melakukan perbuatan terkutuk itu.

    Namun, gadis itu bernasib baik apabila jeritannya didengari seorang wanita yang kebetulan mahu menggunakan tandas.

    Wanita itu kemudian bertindak mendapatkan bantuan dan seorang lelaki masuk ke dalam tandas tersebut.

    Namun, suspek yang menggelabah selepas terdengar suara lelaki masuk ke dalam tandas itu bertindak memanjat semula ke tandas bersebelahan.

    “Adik aku pun buka pintu tandas dan terus berlari keluar tanpa fikir apa-apa. Dengan muka pucat lesu adik aku berlari masuk ke dalam kereta. Tudung dah koyak, handphone dan cermin mata entah ke mana,” tulis abang iparnya.

    Hasil tindakan pantas orang ramai, suspek dikepung dan ditangkap sebelum dibawa ke ibu pejabat polis daerah Machang.

    Ketika disoal, suspek cuba memberikan alasan yang dia tidak melakukan apa-apa sambil menuduh mangsa tersalah masuk tandas.

    Mangsa yang trauma dan lebam di beberapa bahagian badan telah dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

    Susulan insiden itu, abang ipar mangsa menasihatkan orang ramai khususnya golongan wanita tidak bersendirian ketika mahu pergi ke tandas.

    “Tolong berhati-hati dan sentiasa berwaspada. Jangan pergi seorang diri dan sentiasa memeriksa keadaan tandas sebelum menggunakannya,” katanya. -MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " 'Si Haram Jadah Ni Dah Cium & Raba Adik Ipar Aku' "