• Semak Akaun TH, Berurusan Dengan Telefon Pintar

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan aplikasi versi kemas kini, THiJARI 2.0 bagi kemudahan pendeposit dan bakal jemaah haji.

    Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata aplikasi itu menawarkan pelbagai kemudahan baharu antaranya membolehkan pendeposit menyemak status pendaftaran dan tawaran haji terus di telefon pintar mereka.

    Katanya, menyedari akan kepantasan dunia tanpa sempadan serta jumlah pengguna telefon pintar di Malaysia yang dijangka mencecah 17.8 juta penghujung tahun ini serta peningkatan pendeposit TH dari kalangan orang muda, maka wajarlah aplikasi berkenaan dilancar.

    "Selain itu, pengguna juga boleh mengemaskini urusan akaun pendeposit termasuk pindahan wang, pendaftaran dan semakan keahlian Kelab TaHa, informasi TH, direktori, berita dan promosi terkini.

    "Aplikasi ini juga menawarkan perkhidmatan baharu iaitu MyQ TH di mana pelanggan boleh mendapatkan nombor giliran secara atas talian dan memilih cawangan TH berdekatan bagi membuat urusan di kaunter tanpa perlu membazir masa menunggu tempoh giliran yang lama," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri dan pelancaran aplikasi THiJARI 2.0 di sini, hari ini.

    Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah dan isteri, Datin Seri Putri Haniza Megat Hassan.

    Aplikasi THiJARI itu kini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play dan App Store.

    Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, beliau dan Johan akan berangkat ke Makkah dalam masa terdekat bagi meninjau lot-lot tanah yang dirasakan bersesuaian untuk dibina sebuah kompleks bagi menempatkan jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Semak Akaun TH, Berurusan Dengan Telefon Pintar "