• 'Saya Hilang Kaki Tetapi Saya Berjaya Selamatkan Nyawa Orang'

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    Jika diberi peluang untuk memberikan penghormatan dan penghargaan, konduktor kereta api di China ini selayaknya menerimanya kerana sanggup berkorban menyelamatkan orang lain meskipun dia pertaruhkan nyawanya.

    Dalam kejadian pada Khamis lalu, Xu Qiankai, 29, hilang kaki kanannya selepas digilis kereta api ketika menyelamatkan seorang wanita berusia 68 tahun yang mahu melintas landasan.

    Memetik laporan South China Morning Post, semasa kejadian Xu yang sedang memandu kereta api jenis lokomotif menuju ke depot perkhidmatan di stesen Rongchang, daerah Chongqing ternampak warga emas itu cuba menyeberangi landasan.

    Bimbang sesuatu yang tidak diingini menimpa warga emas itu, Xu segera menarik brek kecemasan dan membunyikan hon sebagai tanda amaran supaya wanita itu menyedari kereta api sedang menuju ke arahnya.

    Namun, wanita itu hanya tergamam di tengah-tengah landasan, sementara kereta api semakin menghampirinya.

    Tanpa ragu-ragu, Xu dengan berani dan pantas terjun dari kereta api yang dipandunya dan berlari mendapatkan warga emas itu dalam keadaan di mana kereta api itu masih bergerak di belakangnya.

    Detik mendebarkan itu berakhir apabila Xu berjaya menolak wanita itu keluar dari landasan, tetapi malangnya beliau tidak sempat menyelamatkan dirinya, mengakibatkan kaki kanannya digilis kereta api itu.

    Xu dikejarkan ke hospital, tetapi disebabkan kecederaan teruk, doktor tidak dapat menyelamatkan kakinya dan terpaksa memotong dari atas lutut, lapor portal itu.

    Xu, yang merupakan seorang bekas tentera ketika ditemubual portal tempatan berkata beliau tidak menyesal melakukan hal demikian.

    “Saya kehilangan kaki, tetapi (saya berjaya) menyelamatkan nyawa (warga emas),” katanya sambil menitiskan air mata.

    “Sekiranya saya terpaksa melakukannya lagi, saya akan melakukan perkara yang sama.”

    Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu turut melawat Xu di hospital. Gambar yang dirakam memaparkan warga emas itu melutut di depan katil Xu sebagai tanda terima kasih kerana telah menyelamatkan nyawanya.

    Dilaporkan, wanita itu mengalami gangguan pendengaran. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna ia bebas daripada sebarang dakwaan kerana telah mengabaikan tanda amaran mengenai amaran melintas landasan.

    Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " 'Saya Hilang Kaki Tetapi Saya Berjaya Selamatkan Nyawa Orang' "