• Satu Kes JE Dikesan Di Sarawak

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kes jangkitan Japanese Encephalitis (JE) dikesan di Taman Sentoria, Jalan Stakan Kota Samarahan di Kuching, Sarawak.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata setakat ini hanya satu kes membabitkan kanak-kanak berusia tujuh tahun dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 25 Mei lalu, dikesan akibar jangkitan penyakit itu.

    Katanya, Kesihatan Negeri akan terus memantau kes berkenaan.

    "Kita dapati kes berkenaan ada kaitan dengan gaya hidup masyarakat di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Sakit Pediatrik ke-11 di sini, hari ini.

    Dr Subramaniam berkata, kes berkenaan membabitkan mangsa dengan gejala demam, sakit kepala dan perubahan tingkah laku dan disahkan positif JE melalui keputusan ujian Cerebrospinal (CSF) fluid serta ujian darah.

    Katanya, pesakit sudah diberi rawatan manakala Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan.

    Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri dalam satu kenyataan, sudah menjalankan aktiviti penyemburan kabus dan menghapuskan jentik-jentik di kawasan kes.

    "Surat makluman ke sekolah dan penduduk dalam kawasan terbabit sudah diedarkan. Ketika ini, kawasan liputan pemberian vaksin JE adalah seratus peratus dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur 15 tahun ke bawah.

    "Pemantauan rapi diteruskan melalui laporan dari semua klinik dan hospital kerajaan serta swasta," katanya. - BHOnline
  • No Comment to " Satu Kes JE Dikesan Di Sarawak "