• Satu kes anjing gila di Taiping

    Published: Sunday, 16 July 2017
    A- A+
    JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan menerima aduan pada 13 Julai lalu, mengenai anjing mempunyai pemilik yang disahkan positif rabies, menggigit dua kanak-kanak perempuan di Kuala Sepetang, Taiping, Perak.

    Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, anjing itu mati selepas lapan hari menggigit kanak-kanak berusia 11 tahun iaitu anak pemilik haiwan berkenaan dan anak saudaranya berusia 12 tahun.

    Menurutnya, anjing berusia dua tahun yang dipelihara sejak kecil itu menggigit anak pemilik pada 4 Julai lalu dan sejam kemudian, menggigit sepupu mangsa.

    “DVS Perak membuat siasatan pada 14 Julai lalu dengan pergi ke tempat kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengambil sampel karkas anjing dan menghantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh.

    "Selepas lima hari menggigit mangsa, anjing itu didapati menunjukkan tanda klinikal seperti tiada selera makan, mengasingkan diri dan seterusnya, muntah, demam serta mengalami kekejangan di kedua kaki hadapan dan belakang," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, pemilik anjing membawanya ke klinik haiwan swasta untuk dirawat pada 11 Julai dan selepas menerima rawatan, anjing itu mati keesokannya.

    “Pemeriksaan fizikal pada karkas didapati ada kesan luka gigitan di bahagian zakar anjing dan pihak VRI mengesahkan sampel otak adalah positif virus rabies.

    “Ini kes terpencil dan tiada kaitan dengan kes rabies di Sarawak," katanya.

    Dalam pada itu, Dr Quaza Nizamuddin berkata, kedua-dua kanak-kanak terbabit sudah dibawa ke ke Pusat Kesihatan Kuala Sepetang untuk cucian luka dan suntikan tetanus.

    Katanya, mereka kemudian dimasukkan ke Hospital Taiping dan masih berada di sana menunggu pengesahan DVS bagi memulakan suntikan vaksin. -HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Satu kes anjing gila di Taiping "