• Sarawak, JDT Ibarat Langit & Bumi

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+

    KUCHING: Sarawak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) ibarat langit dan bumi, menurut ketua jurulatih Pengiran Bala.

    Mengulas berhubung kekalahan 0-2 kepada Johor DT pada aksi Piala Malaysia kelmarin, beliau mengakui kecewa dengan keputusan itu namun berpuas hati dengan mutu persembahan pasukan.

    “Tidak dinafikan jika dibandingkan, jurangnya amat ketara antara Sarawak dan JDT.

    “Tapi, sekurang-kurangnya kami dapat mendedahkan pemain muda dalam memberi saingan kepada salah satu pasukan terkuat di Asia,” katanya.

    Pemain Sarawak katanya sudah membuktikan keberanian hingga mencemaskan pihak lawan.

    Pengiran turut kesal deretan peluang skuad Bujang Senang gagal diterjemahkan kepada jaringan yang mampu mengubah keputusan perlawanan.

    Bagaimanapun, kekalahan itu sekali gus menjadi tiket untuk Sarawak ‘pulang’ awal dari kempen Piala Malaysia.

    Beliau berkata, Sarawak kini akan menumpukan sasaran untuk kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

    Menjelaskan perkara itu, katanya tiada pilihan buat skuad Bujang Senang selain meraih kemenangan dalam baki perlawanan liga.

    “Kami akan merehatkan pemain utama sebagai persiapan mengharungi perlawanan menentang Pulau Pinang (Liga Super).”

    Menurut Pengiran, beliau akan sekali lagi menurunkan skuad muda dalam saingan menentang Selangor bagi melengkapkan aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia, Rabu ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Sarawak, JDT Ibarat Langit & Bumi "