• Sangeeta Cuak Berlakon Drama Melayu

    Published: Sunday, 30 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Diberi kepercayaan menjadi teraju utama untuk sebuah drama Melayu merupakan khabar yang mengejutkan bagi pelakon berketurunan India, Sangeeta Krisnasamy.

    Menurut pelakon ini, meski sudah lima tahun berada dalam industri seni, dia menganggap dirinya masih baharu bagi kelompok peminat drama Melayu.

    “Untuk berlakon tidak menjadi masalah apatah lagi sebelum ini saya sudah banyak terlibat dengan drama Tamil.

    “Tetapi apabila ditawarkan menjadi teraju utama dalam drama Melayu, memang saya agak terkejut dan cuak. Apatah lagi pelakon yang terlibat juga semuanya hebat-hebat belaka,” jelasnya.

    Sangeeta bakal menjadi teraju utama untuk drama Banteras yang merupakan drama bersiri melibatkan pasukan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Turut terlibat dalam drama tersebut ialah Namron, Khir Rahman dan seorang artis popular yang diundang sebagai penampilan istimewa bagi setiap episod.

    Tambah Sangeeta, dia juga perlu mengasah lagi penguasaan dalam bahasa Melayu dan itu menjadi cabaran utamanya.

    “Drama saya sebelum ini melibatkan bahasa Tamil dan Inggeris. Jadi, saya sudah terbiasa untuk berkomunikasi dengan menggunakan kedua-dua bahasa itu.

    “Untuk kali ini, memang saya perlu berlatih dan kerap menggunakan bahasa Melayu untuk melatih dan membiasakan diri supaya tidak nampak kekok ketika berdialog,” kata graduan jurusan undang-undang ini.

    Sebelum ini, Sangeeta juga pernah terlibat dengan filem Adiwiraku yang mendapat ulasan positif pengkritik filem tempatan. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sangeeta Cuak Berlakon Drama Melayu "