• Sambut Hari Sarawak Ikut Cara Tersendiri

    Published: Tuesday, 18 July 2017
    A- A+

    KUCHING: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian menyeru rakyat Sarawak untuk keluar meyambut Hari Sarawak pada 22 Julai mengikut cara tersendiri.

    Menurutnya, tahun ini merupakan kali kedua Sarawak menyambut perayaan tersebut sempena memperingati peralihan pentadbiran antara British dan kerajaan negeri pada tahun 1963.

    "Terpulang pada anda bagaiamana cara untuk menyambut hari tersebut itu nanti mengikut kehendak anda sendiri. Di Malaysia, hanya Sarawak sahaja yang menyambut Hari Sarawak.

    "Inilah masanya untuk anda buat sesuatu, Hari Sarawak bukannya masa untuk anda tidur," katanya.

    Pada tahun lepas, kerajaan negeri menerusi pimpinan mantan ketua menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum khas Sarawak.

    Sambutan Hari Sarawak pada tahun ini akan diadakan di Tebingan Kuching dengan pelbagai kegiatan menampilkan 50 orang pelajar dari SK RPR Astana membuat persembahan koral selama 15 minit sebelum acara rasmi dimulakan.

    Selain itu, turut diadakan sebuah pameran yang menampilkan semua sejarah pentadbiran Sarawak bermula sebelum era Rajah Brooke (1841-1941) yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 Julai.

    "Dengan itu, semua rakyat Sarawak akan berpeluang melihat dokumen-dokumen asal pentadbiran Sarawak," ujarnya

    Tambah Dr Sim lagi, orang ramai dan generasi muda terutamanya pelajar sekolah juga turut berpeluang melihat pameran lebih 100 keping gambar, artifak dan video di zaman pemerintahan Jepun (1941-1945), pemerintahan tenteran Australia (1945-1946) dan zaman pemerintahan British (1946-1963).

    "Konsert mini turut diadakan dengan menampilkan artis-artis tempatan kelahiran Sarawak," jelasnya.

    Bagi anak Sarawak yang menetap di luar Sarawak, mereka boleh melayari laman facebook 'Sarawak Event Channel' untuk melihat sambutan secara langsung di media sosial.

    Sambutan itu nanti akan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.-Sarawakiana
  • No Comment to " Sambut Hari Sarawak Ikut Cara Tersendiri "