• Rumah & Kereta Dilelong, Suami Isteri OKU Tekad Pasar Produk Ke Luar Negara

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    Meskipun dilahirkan sebagai insan normal, sebelum kemudiannya disahkan Orang Kelainan Upaya (OKU), pasangan suami isteri, Md Norazwari atau Azwari dan isterinya, Noor Baiti Razalli begitu cekap mengharungi cabaran dalam meneruskan kehidupan.

    Pasangan suami isteri berusia 35 tahun itu kini melakar sejarah tersendiri selepas hasil lukisan kucing dan abstrak mereka bukan sahaja mendapat sambutan dalam negara, bahkan turut menarik perhatian pelanggan dari luar negara.

    Lebih membanggakan, Azwari dan Noor Baiti kini menggorak satu langkah lagi ke hadapan apabila mengeluarkan produk terbaharu mereka iaitu tudung atau shawl, di mana keistimewaan prodok tersebut adalah coraknya dilukis tangan oleh Noor Baiti.

    Menurut Azwari, keunikan hasil seni tangan isterinya itu menjadikan corak yang dilukiskan pada tudung atau shawl adalah ‘limited edition’ dan tidak menyamai dengan produk lain yang ada di pasaran tempatan, mahupun antarabangsa.

    “Cat yang kami gunakan adalah cat kekal. Kami menggunakan diamond Swarovski yang berkualiti untuk setiap shawl. Shawl kami sudah berdaftar di MyIPO dan diberi nama BAITEE WAREE ®, gabungan nama saya dan isteri.

    “Setakat ini, pelanggan kami adalah dari seluruh Malaysia dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysian Digest, hari ini.

    Berkongsi kisah hidup, Azwari yang merupakan bekas penuntut dalam bidang Elektrik dan Elektronik di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) berkata, kehidupan mereka berubah selepas beliau diserang angin ahmar pada September 2013.

    Akibatnya, Azwari koma selama dua hari dan disahkan mengalami pendarahan di bahagian otak kiri.

    Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Azwari yang lumpuh selama enam bulan telah kehilangan pekerjaan tetap, selain rumahnya dilelong dan kereta miliknya terpaksa dijual kerana tidak mempunyai pendapatan.

    “Isteri saya mengalami kerosakan saraf mata di bahagian kanan pada tahun 2009. Isteri saya terfikir untuk melukis gambar kucing kami yang pertama iaitu Kiki dengan menggunakan mata kiri beliau dan menjualnya secara digital di Instagram bagi mengumpul dana perubatan.

    “Setiap gambar berharga USD5 (RM 21.49) dan Noor Baiti akan email kepada pelanggan luar negara. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan pada masa itu, kawan-kawan yang tinggal di luar negara mula membuat permintaan untuk lukis kucing mereka,” katanya.

    Selain pelanggan luar negara, individu-individu kenamaan yang turut menempah lukisan daripada pasangan suami isteri itu adalah keluarga Kerabat diraja Johor, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak; Menteri Besar Johor Datuk Khaled Nordin; serta beberapa selebriti terkenal tanah air.

    Mengulas lanjut, Azwari berkata beliau mensasarkan agar produk keluarannya boleh menembusi pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.

    Selain itu, Azwari dan Noor Baiti turut mengadakan kelas melukis dan mewarna untuk kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga 14 tahun yang diadakan di bengkel mereka yang terletak di tingkat atas, Terminal Bas Kota Tinggi, Johor Bahru, pada setiap Jumaat dan Sabtu.

    Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan boleh layari laman Facebook Azwari Yusof dan Baiti Razalli atau akaun Instagram @baiteewaree.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Rumah & Kereta Dilelong, Suami Isteri OKU Tekad Pasar Produk Ke Luar Negara "