• Rizab Qatar Mampu Tampung Pemulauan Jiran

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+

    DUBAI: Qatar mempunyai rizab AS$340 bilion (RM1.46 trilion) yang boleh membantu negara Teluk itu menangani pemulauan oleh negara jiran, kata Gabenor bank pusat negara itu, Sheikh Abdullah Bin Saoud al-Thani.

    "Inilah kredibiliti sistem Qatar, kami mempunyai tunai mencukupi untuk menyerap sebarang kejutan," katanya kepada saluran berita CNBC dalam satu temubual yang diterbitkan dalam laman sesawangnya.

    Al-Thani berkata, bank pusat mempunyai rizab AS$40 bilion ditambah emas, manakala dana kekayaan negara, Qatar Investment Authority mempunyai rizab AS$300 bilion yang boleh dicairkan.

    Pasaran saham Qatar merosot dan riyal menjadi tidak menentu dalam pasaran spot sejak Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada 5 Jun lalu.

    Negara berkenaan menuduh Qatar menyokong keganasan. Doha bagaimanapun menafikan semua tuduhan berkenaan. "Qatar sudah pun mempunyai sistem yang bagus dan unik.

    Kami mempunyai peraturan yang dibentuk bagi menentang semua jenis keganasan," kata al-Thani kepada CNBC.

    "Kami bekerjasama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan institusi lain untuk mewujudkan peraturan, audit dan semakan semula.

    "Kami tiada masalah, kami mengalu-alukan semuanya untuk memeriksa akaun negara, ia terbuka," tambahnya. -Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Rizab Qatar Mampu Tampung Pemulauan Jiran "