• Ringgit Mengukuh Didorong Pemulihan Harga Minyak

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, disokong peningkatan harga minyak mentah, kata peniaga. 

    Pada 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.2930/2970 berbanding dolar AS berbanding 4.2960/2990 penutup Selasa. 

    Dilaporkan harga minyak menokok selepas laporan industri menunjukkan simpanan minyak mentah AS mencatat kejatuhan terbesar sejak September. Penanda aras Brent naik lebih satu peratus kepada sekitar AS$48 satu tong. 

    Bagaimanapun kenaikan dihadkan oleh kebimbangan pelabur berhubung testimoni Pengerusi Rizab Persekutuan Janet Yellen minggu ini berhubung kemungkinan dasar monetari diperketatkan. 

    Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih lemah berbanding mata wang utama. Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1100/1131 daripada 3.1057/1062 Selasa, manakala ia susut berbanding euro kepada 4.9262/9325 daripada 4.8944/8937. 

    Ringgit lebih rendah berbanding yen kepada 3.7784/7829 daripada 3.7572/7612. Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding pound British kepada 5.5221/5285 daripada 5.5423/5479. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ringgit Mengukuh Didorong Pemulihan Harga Minyak "