• Ringgit Dijangka Pulih Secara Beransur-ansur - RHB

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ringgit dijangka pulih secara beransur-ansur memandangkan mata wang tempatan itu menyusut melebihi nilai asasnya, kata RHB Research Institute.

    Ini berikutan aliran masuk dana secara berterusan ke negara ini yang mendorong rizab tukaran asing (forex) meningkat sebanyak US$900 juta kepada US$98 bilion, sehingga 30 Jun, 2017.

    Namun katanya dari segi ringgit, rizab tukaran asing negara merosot RM8.5 bilion kepada RM424.8 bilion dalam tempoh yang sama, selepas diselaraskan berdasarkan kerugian kadar tukaran.

    "Ringgit mengukuh sedikit pada awal Julai, apabila bank-bank pusat utama dunia mahu meningkatkan kedudukan dasar monetari yang lebih ketat, manakala Rizab Persekutuan US menaikkan kadar faedah pada 15 Jun, "kata firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

    Rizab Forex kekal mencukupi berdasarkan standard antarabangsa, dan pada paras semasa, rizab tukaran wang asing Malaysia mencukupi untuk membiayai 7.9 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

    "Jumlah lebihan kecairan - termasuk perjanjian belian semula (REPO) - yang diserap oleh Bank Negara Malaysia (BNM), susut pada Jun.

    "Ini berpunca daripada penurunan dalam jumlah pinjaman antara bank pusat, repo dan penerbitan bil BNM, " katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ringgit Dijangka Pulih Secara Beransur-ansur - RHB "