• Rakyat Malaysia dikecuali Cukai Pelancongan

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia akan dikecualikan sepenuhnya daripada Cukai Pelancongan.

    Sebaliknya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata cukai berkenaan akan hanya dikenakan kepada pelancong asing pada kadar rata RM10 seorang sebilik.

    Beliau berkata bayaran cukai itu bagi semua hotel dari yang tiada bintang sehingga kepada lima bintang.

    Katanya, pengecualian cukai berkenaan kepada rakyat Malaysia dibuat hasil dari perjumpaan dengan banyak pihak dan selepas berbincang dan mendengar pandangan mereka.

    "Kadar sama rata RM10 akan dikenakan kepada pelancong asing dari hotel bertaraf lima bintang hingga tiada bintang membabitkan setiap malam dan bilik," katanya.

    Beliau menjawab soalan Anthony Loke (DAP-Seremban) mengenai status terkini cukai berkenaan di Dewan Rakyat, di sini.

    Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, pada peringkat permulaan, Kabinet memutuskan untuk melaksanakan kutipan Cukai Pelancongan bermula 1 Julai lalu.

    Beliau berkata ia akan mula dikutip selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebagai agensi pelaksana selesai menyediakan mekanisme pelaksanaannya yang memerlukan sedikit masa.

    "Antara sebab kita memutuskan mengenakan kadar rata RM10 ini adalah kerana mahu memudahkan Kastam untuk mengutip. Jika mengikut kadar sebelum ini, (hotel) lima bintang RM20, empat bintang RM10, maka mekanisme mengutip itu memerlukan banyak kerja.

    "Tetapi jika kadar rata RM10, cukup mudah. Mereka tidak perlu bimbang, kita tahu sahaja berapa bilik telah disewa oleh hotel itu, RM10 itu kita punya. Maka tidak perlu sediakan mekanisme yang kompleks.

    "Soal bila (cukai ini akan dilaksanakan), terpulang kepada Kastam. Kita sudah minta 1 Julai, tetapi mereka tidak bersedia. Akhirnya tarikh ini akan ditentukan kemudian apabila pihak Kastam sudah bersedia untuk mendaftar dan mengutip," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia dikecuali Cukai Pelancongan "