• Rabies: Sektor Pelancongan Sarawak Tidak Panik - Abdul Karim

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan sedia menghadapi apa sahaja impak yang berlaku akibat daripada penularan wabak rabies di negeri ini.

    Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini, keadaan wabak ini agak terkawal dan maklumat mengenainya tidak tersebar luas di luar negara.

    “Justeru itu, ia belum menjejaskan kedatangan pelancong luar ke negeri ini,” katanya malam tadi.

    Menurutnya, ketika ini Sarawak akan menganjurkan beberapa acara besar dan berharap wabak ini akan dikawal.

    “Kita kita mempersedia kakitangan untuk menjawab apa sahaja pertanyaan dari luar berkaitan isu tersebut, dan memastikan para pelancong yang berhajat datang ke sini mendapatkan maklumat yang tepat,” lanjutnya.

    Sehingga semalam, sebanyak 18,144 ekor haiwan yang terdiri daripada 10,504 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain telah divaksin dengan vaksin
    rabisin.

    Stok simpanan vaksin untuk haiwan adalah mencukupi dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak sedang melakukan operasi pemvaksinan secara besar-besaran dan terancang dan akan dimaklumkan dari masa ke semasa melalui media masa.

    Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wabak Rabies) juga telah memutuskan agar zon penampan diwujudkan di antara Sarikei sehingga ke Sri Aman untuk mengekang penularan Wabak Rabies di kawasan lain.

    Di dalam zon ini , pihak JPVS akan melakukan survelan dan mengambil sampel anjing untuk ujian makmal di semua kawasan bandar untuk menentukan status kawasan tersebut.

    Pihak Majlis Kerajaan Tempatan juga telah mengambil tindakan untuk memastikan tiada anjing liar berkeliaran di kawasan seliaan mereka. – Sarawakvoice
  • No Comment to " Rabies: Sektor Pelancongan Sarawak Tidak Panik - Abdul Karim "