• Putin Usir 755 Diplomat Amerika

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+

    MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan 755 diplomat Amerika Syarikat (AS) meninggalkan negara itu, hari ini sebagai tindak balas terhadap sekatan terbaharu Washington.

    Kementerian Luar Russia sebelum ini mahu AS mengurangkan pegawai diplomatiknya di Russia kepada 455 orang menjelang September ini, bilangan sama yang dimiliki Russia di AS.

    "Lebih seribu orang bekerja di kedutaan dan konsulat AS. 755 orang mesti menamatkan aktiviti mereka di Russia," kata Putin kepada stesen TV, Rossia-24.

    Terdahulu, seorang pegawai kanan Russia memberi amaran, mengusir diplomat AS adalah tindakan yang sudah lama tertangguh susulan sekatan yang diluluskan Amerika Syarikat, minggu lalu.

    Katanya, beberapa tindakan susulan lain juga akan diambil, jika Washington enggan mengubah pendekatannya.

    Bercakap dalam program "This Week" di saluran televisyen ABC, Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov menyifatkan sekatan bertujuan menghukum Russia kerana dikatakan campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat pada 2016.

    Katanya, tindakan itu 'pelik dan sesuatu yang tidak boleh diterima' yang dilihat sebagai tindakan paling teruk. Disember lalu, beberapa sekatan lain dikenakan ke atas Russia.

    "Jika Amerika Syarikat mahukan hubungan lebih teruk, kita akan memberikan jawapan setimpal. Kami akan bertindak balas," katanya lagi. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Putin Usir 755 Diplomat Amerika "