• PRU14 : MIC Pantau Calon Disenarai Pendek

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+

    MIC akan memantau calon yang sudah disenarai pendek oleh parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

    Beliau berkata, pemantauan itu membabitkan penilaian prestasi calon selain melihat sama ada calon berkenaan boleh diterima oleh penduduk di satu-satu kawasan tersebut.

    "Walaupun kita sudah kenal pasti calon, namun ia bukanlah satu jaminan kepada mereka (calon) kerana kita tidak teragak-agak untuk menukar calon yang sudah disenaraikan jika gagal menunjukkan prestasi terbaik.

    "Jika mereka berjaya memenangi hati rakyat, ia adalah petanda positif MIC akan mampu meraih sekurang-kurangnya enam kerusi Parlimen nanti," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat anjuran MIC Kulim Bandar Baharu di sini malam tadi yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

    Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, turut mengulangi kenyataannya bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan mampu memenangi enam kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada PRU14 nanti.

    Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan kepada gerak kerja secara teratur yang dibuat jentera MIC misalnya melalui aktiviti mendaftar pemilih baharu dan program turun padang bersama badan bukan kerajaan (NGO).

    Pada PRU13, MIC menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen dan lima daripada 18 kerusi DUN yang ditandingi oleh parti kaum India itu.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PRU14 : MIC Pantau Calon Disenarai Pendek "