• Projek Kapal Misi Pesisir di China dipantau

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar pasukan khas ke Wuhan, China bagi memantau kemajuan projek pembinaan Kapal Misi Pesisir (LMS)

    Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata Pasukan Projek LMS (PPLMS) merangkumi 12 pegawai dan anggota TLDM pelbagai pangkat itu akan berlepas ke Wuhan petang esok dan berada di sana selama tiga tahun.

    "Projek pembinaan LMS dijalankan secara usaha sama dengan China dan pasukan itu akan mengawasi kelicinan proses pemindahan teknologi dari China bagi memastikan rancangan kita membina LMS pada masa depan dapat dilaksanakan.

    "Mereka juga diberi tanggungjawab memastikan kapal itu dibina mengikut kualiti dan piawaian dipersetujui dalam kontrak pembinaan," katanya dalam sidang media selepas majlis ramah mesra PPLMS di KD Sri Gombak di sini, hari ini.

    Ahmad Kamarulzaman berkata, projek pembinaan LMS amat signifikan bagi TLDM kerana ia adalah projek permulaan dalam pelan transformasi '15 To 5' bagi mengurangkan kelas kapal daripada 15 jenis kepada lima sahaja dalam armada TLDM.

    "Penghantaran pasukan khas ini menunjukkan komitmen kita untuk memastikan projek berjalan lancar dan memastikan rancangan kita membina 14 unit LMS dapat dilaksanakan," katanya.

    Selain anggota TLDM, Ahmad Kamarulzaman berkata, PPLMS akan turut dianggotai sembilan jurutera Boustead Naval Shipyard Sendirian Berhad (BNS) yang turut terbabit dalam projek pembinaan LMS bersama syarikat China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC) dari China.

    "Projek membabitkan pembinaan empat unit LMS iaitu dua unit akan dibina di Wuhan dan baki dua unit dibina BNS di Lumut, Perak," katanya.

    Pembelian LMS menjadi sejarah penting dalam aspek pertahanan negara apabila Malaysia membuat perolehan aset pertahanan dari China buat kali pertama.

    Kapal itu direka khas untuk operasi mencari dan menyelamat, penguatkuasaan dan kawalan keselamatan maritim selain berupaya menjalankan misi risikan serta pengumpulan maklumat.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Projek Kapal Misi Pesisir di China dipantau "