• Prihatin, Jangan Abaikan Anak Kurang Cemerlang SPM

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    KUCHING: "Prihatin dan jangan biarkan anak tidak mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melanjutkan pelajaran," kata Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

    Beliau berkata, kalau anak tidak begitu berminat dengan akademik, masukkan mereka di pusat pengajian teknikal.

    "Ada tempat untuk mereka, sekurang-kurangnya mereka mendapat ilmu dalam kemahiran," ujarnya pada Majlis Penyampaian Baucar Pakaian Sekolah N7 Samariang di Dewan Malaysia Jaya hari ini.

    Seramai 316 pelajar dari 11 sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang menerima baucar tersebut.

    Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata, kerajaan negeri sentiasa peka dengan kualiti pendidikan di negeri ini.

    Malah menurutnya, ia dibuktikan dengan kewujudan portfolio khas untuk pendidikan yang membolehkan kerajaan negeri bagi melihat prasarana sekolah negeri ini.

    "Ia (portfolio) ini bukan bertujuan untuk mengambil alih kuasa secara keseluruhan.

    "Sekarang terdapat 1,000 sekolah daif di negeri ini jadi Ketua Menteri (Datuk Amar Abang Johari Tun Openg) mahu kerajaan negeri menggunakan dana sendiri untuk membaiki atau membina sekolah daif," jelasnya.-Sarawakiana

  • No Comment to " Prihatin, Jangan Abaikan Anak Kurang Cemerlang SPM "