• 'Prank' Rakan Dalam Lif, Kanak-Kanak 2 Tahun Jatuh Tingkat 18

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+

    Kanak-kanak memang suka berseronok dan bergurau atau melakukan ‘prank’ kepada teman sepermainan setiap kali bermain, tetapi kerana usia yang masih muda, mereka tidak mengerti bahawa aksi gurauan itu sebenarnya boleh mengundang bahaya dan mungkin membawa maut.

    Itu yang berlaku kepada sekumpulan kanak-kanak di sebuah pangsapuri di China apabila salah seorang rakan sepermainan mereka ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 18.

    Memetik Shanghaiist, ketika kejadian, mangsa Li Li, yang berusia dua tahun sedang bermain bersama dua lagi kanak-kanak di kediaman tersebut yang terletak di Changsha, wilayah Hunan.

    Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Li Li menaiki lif ke tingkat 9 bersama dua lagi rakannya.

    Ketika berada di dalam lif, salah seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun kelihatan melompat-lompat untuk menekan butang tingkat yang paling tinggi.

    Sebaik sahaja pintu lif terbuka, ketiga-tiga kanak-kanak itu keluar, tetapi kanak-kanak lelaki yang sama bertindak mengangkat Li Li dan meletakkan semula kanak-kanak malang itu di dalam lif.

    Li Li yang masih berada di dalam lif dibiarkan begitu sahaja sehingga pintu ditutup. Ketika berada keseorangan di dalam lif, Li Li boleh kelihatan mengetuk pintu lif, dengan harapan ia terbuka dan dia boleh kembali bersama rakan-rakannya.

    Namun, usahanya tidak berjaya sehinggalah pintu lif terbuka pada tingkat 18 dan Li Li kemudiannya keluar.

    Malangnya, kanak-kanak itu ditemui di tingkat pertama dan sudah meninggal dunia, dipercayai terjatuh di antara ruang bangunan tersebut ketika mangsa cuba turun ke tingkat bawah.

    Difahamkan, bahagian tingkap di tingkat 18 tidak mempunyai kaca atau jeriji.

    Pihak berkuasa tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai keluarga Li Li dan hanya memaklumkan ketika kejadian mangsa dijaga oleh neneknya.

    Insiden tragis menimpa mangsa mencetuskan kemarahan pengguna media sosial negara itu yang menyalahkan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan kecuaian ibu bapa yang tidak mengawasi anak masing-masing.

    Ada juga netizen mempersoalkan pihak pemaju yang membina struktur bangunan di tingkat paling atas kediaman itu, yang seolah sengaja membiarkan insiden sedemikian berlaku.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " 'Prank' Rakan Dalam Lif, Kanak-Kanak 2 Tahun Jatuh Tingkat 18 "