• Polis Padawan Lupus Mesin Judi Dan Komputer Bernilai RM268,000

    Published: Wednesday, 19 July 2017
    A- A+

    PADAWAN: Sebanyak 326 buah komputer termasuk tujuh unit mesin simulator perjudian yang dianggarkan bernilai RM268,000 dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan dekat sini hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin berkata, kesemua komputer dan mesin judi berkenaan merupakan barangan yang dirampas dalam serbuan ke atas 19 premis menerusi operasi yang dijalankan sejak 2014 hingga 2016 dilupuskan selepas mendapat arahan dari mahkamah.

    “Dalam serbuan itu, pihak polis telah menahan 23 lelaki dan dua wanita yang merupakan pengendali premis perjudian berkenaan yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 33 tahun bersama 25 pelanggan bagi membantu siasatan.

    "Sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa kepada hukuman berupa denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali." katanya dalam sidang media sempena majlis pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan hari ini.

    Merbin juga turut memberitahu pihak IPD Padawan berusaha menggempur aktiviti perjudian habis-habisan terutamanya di daerah tersebut amnya.

    Oleh yang demikian, Merbin menyeru agar masyarakat sentiasa menyalurkan makluman kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkenaan aktiviti perjudian didaerah bawah seliaan IPD Padawan di talian 082-862233.

    Sementara itu, pihak polis IPD Padawan turut melupuskan sebanyak 483 keping banner pinjaman wang disyaki tanpa lesen yang digantung pada tiang-tiang di sekitar daerah ini melalui ops vulture yang dihjalankan pada 9.Mac.2015 hingga 14.Julai.2017.

    Sebanyak empat individu telah mengaku salah dan dituduh di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 ( Larangan Pembantu Pemberi Pinjam Wang Tidak Berlesen).-Sarawakiana





  • No Comment to " Polis Padawan Lupus Mesin Judi Dan Komputer Bernilai RM268,000 "