• Polis Limbang Tahan Ibu Sebabkan Kematian Anak Tiri

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+

    LIMBANG:  Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan di kediamannya di Kampung Terimah Lubai dekat sini malam tadi selepas disyaki menyebabkan kematian anak tirinya Khamis lalu.

    Suspek ditahan pada jam 7.10 malam tadi selepas selepas laporan hasil bedah siasat menemui unsur penderaan pada tubuh kanak-kanak lelaki malang terbabit.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dato Dev Kumar berkata suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    "Kita (polis) akan mengenal pasti punca kecederaan yang ditemui pada tubuh kanak-kanak tiga tahun itu hingga menyebabkan kematiannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada jam 9 malam khamis lalu wanita berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Limbang mendakwa anak tirinya tidak sedarkan diri di lantai bilik mandi di rumah mereka di Kampung Terimah Lubai di sini, kira-kira jam 4 petang.

    Suspek yang mendakwa anak tirinya bermain bersendirian di bilik mandi ketika dia berada di dapur dan hanya menyedari kejadian selepas kembali ke bilik mandi.

    Dia membawa anak tirinya ke Hospital Limbang untuk rawatan, namun doktor mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.

    Kes awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat oleh Hospital Miri. - Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Limbang Tahan Ibu Sebabkan Kematian Anak Tiri "